Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyanyi, pelakon veteran Latif Ibrahim meninggal dunia
Diterbitkan:  Feb 20, 2012 8:08 PM
Dikemaskini: 11:07 PM

Penyanyi dan pelakon veteran tanah air, Abdul Latif Ibrahim, 61, meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut JantungNegara (IJN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Penyanyi lelaki era 70-an itu meninggal dunia pada pukul 5.57 petang di Unit Rawatan Koronori (CCU) IJN, dengan anggota keluarga berada di sisi Allahyarham.

Anaknya, Hazriq Latif berkata jenazah bapanya akan dibawa pulang ke rumah Taman Keramat malam ini.

"Kami tidak dapat beritahu apa-apa kerana masih bersedih dengan pemergian ayah," kata Hazriq yang enggan mengulas lanjut.

Latif Ibrahim, yang terkenal dengan lagu Nora, Mengharap Kasih Mu dan Mengenang Dikau Kembali, ialah abang kepada penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim.

Allahyarham merupakan artis yang pernah menyuburkan industri filem negara melalui lakonan filem Hapuslah Air Mata Mu (1976), Dendang Perantau (1979), Sumber Ilhamku (1979), Bintang Pujaan (1981) dan Senja Merah (1982).

Allahyarham dimasukkan ke IJN pada Sabtu lalu dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 12 tahun lalu.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU 3, Keramat esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS