Peniaga bimbang gerai diroboh MBAS
Kira-kira 30 peniaga di Taman PKNK di Alor Setar menyuarakan kebimbangan apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mahu mengambil tindakan meroboh gerai mereka yang berusia 23 tahun pada bila-bila masa.
Wakil peniaga Amir Zulkifli, 52, berkata penguatkuasa MBAS memberikan notis meminta mereka merobohkan khemah yang dipasang di gerai mereka pada 16 Februari lepas
dan meminta peniaga menggunakan roda tiga dan payung mengikut lesen yang dipohon.
Amir berkata penggunaan roda tiga seperti penjaja tidak lagi sesuai berikutan peredaran masa dan faktor cuaca yang tidak menentu selain turut menyusahkan peniaga untuk mengangkut dan memunggah barang-barang apabila selesai berniaga.
"Saya mohon kepada MBAS agar tidak merobohkan gerai kami dan mencari satu tindakan alternatif bagi membolehkan kami berniaga di kawasan ini seperti biasa," katanya ketika ditemui Bernama petang semalam.
Amir berkata rata-rata peniaga yang tinggal di sekitar kawasan ini hanya bergantung kepada hasil perniagaan itu untuk menyara kehidupan keluarga sejak 23 tahun lepas.
Seorang peniaga Roslinda Ali, 48, berkata dia memasang khemah menggantikan payung sejak 15 tahun lepas kerana bimbang faktor keselamatan pelanggan yang singah menikmati makanan di gerainya.
Jelasnya ia pernah berlaku apabila payung yang dipasang diterbangkan angin dan hampir mencederakan pelangganya serta beberapa peniaga yang turut berniaga bersamanya.
Sementara itu ADUN Derga, Dr Cheah Soon Hai yang turun padang mendengar keluhan peniaga berkenaan, berkata MBAS dan kerajaan negeri perlu mencari alternatif seperti membina tempat berniaga bagi membolehkan mereka menjalankan perniagaan seperti biasa.
Datuk Bandar Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata kebanyakan peniaga memiliki lesen roda tiga yang berstatus penjaja dan tidak boleh mendirikan khemah secara haram tanpa kebenaran MBAS.
"Sekarang saya nak perbetulkan keadaan dan konsep lesen roda tiga adalah untuk penjaja dan mereka tidak boleh pasang khemah dan dijadikan seperti restoran," katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya tindakan mereka memasang khemah juga menggangu tempat letak kereta di hadapan bangunan perniagaan PKNK yang disediakan pihak pemaju.
Mat Noh berkata perkara itu dalam perhatian pihaknya dan akan diselesaikan secara dalaman dalam masa terdekat.
- Bernama

