Dr M sokong senarai FGVH, anggap ia 'peluang besar'
Penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) menawarkan kepada lembaga pembangunan tanah itu satu "peluang besar" untuk mengembangkan perniagaannya, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, peluang yang ditawarkan oleh penyenaraian tersebut adalah begitu besar untuk membolehkan mereka mengembangkan perniagaan dan sebenarnya ia adalah perniagaan baru yang akan membabitkan pemilik lain.
Dr Mahathir (
kanan
) menegaskan demikian di majlis pelancaran Kapal Sokongan Pesisir Pantai (OSV) di Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan menyediakan satu mekanisme untuk memastikan "sesetengah rizab" membabitkan pemilikan saham akan dijamin kepada peneroka.
Katanya, beliau agak pasti kerajaan akan memastikan terdapat sesetengah rizab yang membabitkan pemilikan saham.
Bekas perdana menteri itu mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh anggota veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang berkata penyenaraian tersebut boleh menimbulkan ancaman terhadap masa depan peneroka.
Tengku Razaleigh (
kiri
), yang pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Dr Mahathir, memberitahu akhbar rasmi PAS -
Harakahdaily
- bahawa apabila FGVH disenaraikan, aset dan tanah milik peneroka boleh terdedah kepada pasaran terbuka.
Tengku Razaleigh berkata, saham-saham tersebut boleh berpindah kepada sesiapa sahaja termasuk warga asing yang mampu membeli saham pada apa jua harga.
Lebih modal, dividen sama
Dr Mahathir menjelaskan bahawa skim tersebut baik kerana peneroka sendiri tidak mampu untuk membeli saham dan mengembangkan syarikat.
Katanya, ia satu cara untuk mendapatkan lebih banyak modal, lebih banyak pelaburan dan akhirnya peneroka akan mendapat jumlah divien yang sama.
Pengkritik skim tersebut mendakwa bahawa penyenaraian FGVH akan menjejaskan peneroka Felda yang kini menikmati 15 peratus dividen setiap tahun.
FGVH dimiliki sepenuhnya oleh FELDA. Di bawah struktur semasa, FGV mempunyai 49 peratus pegangan dalam FELDA Holdings Berhad manakala koperasi Permodalan Felda (KPF) memiliki baki 51 peratus.

