Pemindahan hak milik Proton Holdings Bhd daripada Khazanah Nasional Bhd kepada DRB-Hicom Bhd akan siap menjelang bulan depan, kata penasihat syarikat pembuat kereta nasional itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    

Bekas perdana menteri itu berkata dengan tempoh masa yang telah diberikan, kepimpinan baru itu akan dimuktamadkan.

    

NONE "Buat masa ini, pengurusan baru belum lagi diputuskan.

    

"Kami (Proton) masih lagi dalam proses pemindahan kepada syarikat baru kerana terdapat beberapa kod pengambilalihan tertentu yang perlu dipatuhi.

    

"Saya rasa, menjelang Mac, kami sepatutnya telahpun siap dengan pemindahan pemilikan kepada pengurusan baru," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Persatuan Pemilik OSV Malaysia (OSV Malaysia) hari ini.

    

Ditanya sama ada bekas ketua pegawai eksekutif Proton, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff akan kembali sebagai pengerusi baharu syarikat, Dr Mahathir berkata setakat yang beliau tahu, "tiada pengesahan mengenai perkara itu."

    

Pengerusi pada masa ini, Datuk Seri Nadzmi Salleh, terdahulu telah membayangkan kepada media tempatan akan kesanggupun beliau untuk turut membantu pemilik baru Proton.

    

NONE Mengenai perkara ini, Dr Mahathir berkata: "Sama ada beliau akan dikekalkan, bukan saya yang boleh buat keputusan. Pemilik barulah yang akan membuat sebarang keputusan mengenainya."

    

Khazanah telah menjual 42.7 peratus kepentingannya kepada DRB-Hicom.

Nadzmi adalah antara pembida untuk kepentingan itu.

- Bernama