Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kastam Sabah bakal kenakan kompaun atasi penjara sesak
Diterbitkan:  Feb 23, 2012 6:11 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah akan menggunakan pendekatan seperti kompaun terhadap pesalah bagi membantu mengatasi masalah kesesakan banduan di penjara Sabah.

Timbalan Pengarah JKDM Sabah Hamzah Sundang berkata setiap tahun, sejumlah 1,000 hingga 2,000 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

    

"Kastam melihat masalah kesesakan penjara dengan kos yang terpaksa ditanggung, dan Kastam ada kuasa kompuan... boleh bayangkan pesalah boleh mencapai 1,000 hingga 2,000 orang tangkapan di Sabah sahaja.

"Dengan kuasa kompuan, tidak semua tangkapan didakwa di mahkamah, (dan ini) boleh mengurangkan kesesakan di penjara... kalau dakwa, jadi masalah besar kepada penjara menghadapi kesesakan, termasuk dari kalangan warga asing," katanya ketika berucap di program lawatan JKDM Sabah ke Jabatan Penjara Pusat Sabah di Kepayan hari ini.

    

Turut hadir Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu Abdul Halim Ma'Hassan.

Hamzah berkata pihaknya akan terus menjalinkan hubungan baik dengan semua agensi penguatkuasaan termasuk polis dan Jabatan Penjara bagi mengatasi masalah berkaitan, selain menjaga keamanan di negeri itu.

Mengenai program itu, beliau berkata lawatan bersama anggota dan pegawai jabatan tersebut adalah sempena Hari Kastam Sedunia yang disambut sepanjang bulan ini.

    

"Tujuan (lawatan) agar anggota memahami peranan dan tanggungjawab Jabatan Penjara, selain untuk melihat masalah hubungan tugasan antara Jabatan Kastam dan Jabatan Penjara, kita juga mahu beri keinsafan kepada anggota bagaimana suasana kehidupan di penjara agar mereka tidak masuk penjara," katanya.

    

Beliau juga yakin Malaysia mengamalkan pendekatan pemenjaraan berhemah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS