Pembangkang sekali lagi menggesa agar tujuh tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan khususnya selepas perhimpunan di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pagi tadi berjalan lancar, tidak seperti didakwa polis.

Sejak beberapa hari lalu polis memberikan amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan itu dan sedia mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terbabit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai dalam sidang akhbar Rabu lalu, bagi menjelaskan tangkapan terhadap pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi itu, mendakwa "perhimpunan serta perarakan ini (di Suhakam pagi ini) berpotensi menjadi rusuhan."

Polis juga mendakwa aktivis reformasi cuba "mengelirukan pihak keselamatan dengan menamakan acara itu sebagai 'Perhimpunan Penyerahan Memorandum Rakyat' tetapi sebenarnya bercadang menganjurkan demonstrasi jalanan yang dipanggil 'Black 14' secara besar-besaran."

"Mereka merancang untuk mengumpulkan seramai 50,000 di sekitar Kuala Lumpur (hari ini)," kata Norian lagi.

Bagaimanapun perhimpunan bagi menyerahkan memorandum itu yang dihadiri kira-kira 3,000 penyokong reformasi berjalan dengan aman serta tertib selama dua jam di perkarangan pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Tiada asas untuk tahan

Tiada kejadian tidak diingini berlaku walau kumpulan besar itu dengan penuh semangat melaungkan beberapa slogan bantahan ketika beberapa pemimpin politik menyampaikan ucapan.

Polis bagaimanapun sejak pagi mengerahkan 400 hingga 600 anggota di sekitar kawasan itu, termasuk pasukan polis antirusuhan dan kenderaan meriam air, kira-kira 200 meter daripada perhimpunan tersebut.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang berkata perhimpunan yang dikendalikan dengan aman itu adalah bukti yang paling kuat untuk membebaskan ketujuh-tujuh tahanan ISA itu.

Pada Selasa dan Rabu lalu, polis menangkap pengerusi jawatankuasa penganjur acara itu Saari Sungib bersama enam yang lain.

Mereka yang turut ditangkap adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, Setiausaha Pemuda N Gobalakrishnan, aktivis pergerakan itu Abdul Ghani Haroon, penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web FAC (Kempen Bebaskan Anwar) Raja Petra Raja Kamaruddin.

"Tidak ada asas atau sebab lagi bagi terus menahan tujuh orang itu di bawah ISA dan polis harus dengan segera membebaskan mereka tanpa sebarang syarat," kata Kit Siang, sebagai ulasan segera memuji kejayaan perhimpunan itu dan juga sikap Suhakam terhadap penganjur.

Suruhanjaya itu menerima dan berjanji akan meneliti memorandum 10 perkara daripada rombongan wakil-wakil pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan rakyat yang diketuai oleh Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Ismail.

Pelancar bom

Sepuluh perkara itu antara lain menyentuh isu-isu kebebasan berkumpul, institusi kehakiman, kebebasan media, menghapuskan akta-akta zalim, dan membanteras budaya kronisme, nepotisme serta rasuah.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda Keadilan Low Chee Chong turut berkata tuduhan polis tentang rusuhan yang bakal terjadi dalam perhimpunan itu tidak benar sama sekali.

"Tujuh orang yang ditahan di bawah ISA telah dianiayai dan perlu dibebaskan segera," katanya.

"(Perhimpunan itu) jelas membuktikan segala dakwaan terhadap kami tentang pemilikan senjata, bahan letupan, pelancar bom dan sebagainya tidak benar sama sekali."

Beberapa hari lalu Norian mendakwa kumpulan reformasi pernah berusaha mendapatkan bom, pelancar bom (grenade launcher), bom petrol (molotov cocktail), bebola penggalas (ball bearing) dan senjata-senjata berbahaya untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi yang militan.

"Kini aktivis serta penyokong reformasi dan wakil NGO telahpun membuktikan tiada sebarang aktiviti militan atau rusuhan," kata Low lagi.