Krisis dalam kerajaan negeri Kedah tidak mempunyai kaitan langsung dengan Umno atau BN, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

NONE Bagaimanapun katanya, Umno melihat keadaan itu sebagai satu tanda kerapuhan dalam pakatan pembangkang yang dianggotai PAS, PKR dan DAP.

"Keretakan yang berlaku ini memang benar di peringkat PAS negeri Kedah, dan kita tunggulah apa yang akan berlaku," kata Shafie yang juga Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar kepada pemberita, di Butterworth hari ini.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan Hari Penjaja dan peniaga Kecil peringkat Pulau Pinang 2012, diminta mengulas mengenai kekecohan dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PAS itu.

Ini susulan wujud desas-desus di sebelah utara yang menyatakan krisis dalaman PAS Kedah untuk menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu didalangi Umno.

- Bernama