Samy Velu: Orang India perlu kenang budi BN
Masyarakat India perlu bertoleransi dan mengenang budi di atas pelbagai bantuan termasuk peruntukan membina sekolah Tamil serta membaik pulih bangunan sekolah yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan BN.
Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu berkata, melalui peruntukan kira-kira RM300 juta yang diluluskan, sebanyak 75 buah sekolah Tamil yang baru sedang dalam program pembinaan manakala lebih 50 lagi dalam perancangan untuk dibina.
“Melalui peruntukan ini, sekolah-sekolah Tamil di negara ini kini mempunyai sejarah baru, bererti kerajaan telah memberi banyak peruntukan demi menaik taraf sekolah-sekolah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Henreitta di Padang Serai dekat Kulim hari ini.
Samy Vellu yang juga Duta Khas Malaysia bertaraf menteri bagi infrastuktur ke India dan Asia Selatan mengucapkan terima kasih di atas kemurahan hati Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan sikap tidak meminggirkan masyarakat India di negara ini.
“Pucuk pimpinan MIC kinipun telah bekerja keras meningkatkan tahap ekonomi dan pelajaran masyarakat India selaras dengan arus pembangunan negara dan mereka merasa tidak ketinggalan dalam semua bidang,” katanya.
Beliau berkata kehadirannya di kawasan Padang Serai hari ini turut menimbulkan nostalgia yang menarik dalam kehidupan beliau ketika menerajui MIC di samping dapat bertemu dengan pemimpin-pemimpin MIC tempatan.
- Bernama

