Pelakon siri televisyen popular "Xena: Warrior Princess" - Lucy Lawless ditangkap di New Zealand hari ini selepas menduduki secara haram sebuah kapal penggerudian minyak selama tiga hari sebagai membantah rancangan mencari gali minyak di perairan Alaska.

AFP yang memetik kumpulan alam sekitar, Greenpeace, berkata polis terpaksa memanjat tiang penggerudian sepanjang 53 meter di kapal Noble Discoverer di North Island, New Zealand berhampiran pelabuhan Taranaki untuk menahan Lawless bersama-sama dengan lima aktivis lain.

Menurut polis, kumpulan itu tidak cuba untuk berlawan dan memanjat turun dari menara berkenaan sebelum beredar dari kapal berkenaan tanpa sebarang kejadian.

Greenpeace berkata semua mereka didakwa memecah masuk harta persendirian dan akan dihadapkan ke mahkamah pada Khamis ini.

Pelakon itu menaiki kapal berkenaan pada Jumaat lalu dalam usaha Greenpeace untuk menghalangnya belayar ke Artik, di mana ia telah ditugaskan oleh syarikat gergasi tenaga Anglo-Belanda, Shell untuk menjalankan penerokaan penggerudian.

"Kisah kami telah berakhir, tetapi kisah perjuangan untuk menyelamatkan Artik baru sahaja bermula, "kata Lawless dalam satu kenyataan.

Beliau yang membintangi siri televisyen fantasi "Xena: Warrior Princess" dari 1995-2001, adalah aktivis alam sekitar. Beliau dinamakan sebagai duta Greenpeace pada tahun 2009.