Syarikat projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) tidak perlu melatah dengan cadangan awal polis agar pengerusi syarikat itu didakwa dengan pertuduhan pecah amanah kerana ia hanyalah satu cadangan siasatan daripada polis untuk Jabatan Peguam Negara.

NONE Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata siasatan itu hanyalah cadangan untuk rujukan Peguam Negara bagi membuat sebarang keputusan terhadap dakwaan pecah amanah itu, sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang atau tidak.

"Kalau mereka (NFC) tak puas hati, itu terpulang kepada dia. Kita tetap jalankan tugas kita, kalau tidak, buat apa kita siasat?" katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

NFC menerusi satu kenyataan semalam melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Syed Ismail sebelum ini supaya pengerusi syarikat itu, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail, didakwa atas tuduhan pecah amanah (CBT) kerana menyifatkan kenyataan itu sebagai terlalu awal sedangkan siasatan masih dijalankan.

NFC mempersoalkan motif di sebalik kenyataan itu.

azlan Isu NFC mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya selain terdapat dakwaan wujud penyelewengan peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Syed Azizan berkata, memang menjadi tugas polis untuk menyatakan beberapa cadangan dalam setiap kertas siasatan yang akan dihantar ke Peguam Negara.

"Apa-apa pun terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat sebarang keputusan terbaik," katanya.

- Bernama