Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum hari ini melahirkan perasaan dukacitanya dengan satu artikel yang menghina masyarakat Iban.
Sambil melahirkan perasaan terkejut selepas membaca artikel yang ditulis seorang mubaligh Kristian dalam sebuah majalah Kristian antara mazhab,
Asian Beacon
, beliau berkata ia adalah di luar kefahamannya bahawa seorang mubaligh Kristian 'boleh berkhayal dengan idea-idea romantik' dan mengeluarkan artikel yang penuh penghinaan.
"Sebenarnya saya tidak pernah mendengar orang Iban memakan lintah atau semut goreng tak kira selazat mana pun ia," katanya mengulas mengenai artikel itu.
Salang tidak menolak lelaki Iban "suka minum dan merokok" tetapi tidak ramai yang merokok pada masa ini berbanding zaman dahulu di mana mereka semestinya merokok bagi menghalau nyamuk dan agas semasa mengerjakan sawah mereka.
Sambil meminta penulis itu memohon maaf dengan masyarakat Iban Sarawak, Salang berkata jika penulis itu benar-benar takut kepada Tuhan seperti mana sepatutnya sebagai seorang mubaligh, dia sepatutnya membaca lebih banyak Bible agar tidak menyakiti perasaan orang lain.
Sementara itu, ADUN Ngemah Alexander Vincent yang juga penganut Kristian juga terkejut dengan artikel itu.
Katanya penulis itu patut menukar kerjayanya kerana apa yang dilakukannya lebih merugikan agama Kristian.
- Bernama
