Bekas ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini mengemukakan pencalonannya untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum di kerus Parlimen tersebut.

Berikutan itu, pertandingan di kerusi Parlimen Pasir Mas bakal menyaksikan perebutan tiga penjuru yang membabitkan Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman, dan calon PAS Ismail Noh.

Pencalonan Ibrahim ini telah mengesahkan spekulasi sebelum ini bahawa beliau akan bertanding kerusi tersebut dalam usahanya untuk membersihkan namanya yang didakwanya telah "dihina" oleh Umno Kelantan, apabila tidak dilantik semula menerajui bahagian Pasir Mas.

Bagaimanapun, dakwaan penyokong Ibrahim bahawa PAS akan memberi laluan kepadanya untuk bertanding satu lawan satu dengan calon BN di situ tidak menjadi kenyataan.

Pastinya, pertandingan di Parlimen Pasir Mas akan menjadi tumpuan ramai, khususnya bagi mereka yang ingin mengetahui sama ada Ibrahim mempunyai sokongan kuat ahli Umno di situ sepertimana yang didakwanya selama ini.

Proses penamaan calon bagi Parlimen Pasir Mas selesai jam 11.20 pagi tanpa sebarang bantahan.

Peluang cerah

Sementara itu, beberapa kenderaan rasmi Tenaga Nasional Berhad (TNB) kelihatan digunakan untuk mengangkut penyokong calon Barisan Nasional (BN) Bachok ke tempat penamaan calon bagi Kerusi Parlimen Bachok di Pejabat Tanah Bachok pagi ini.

Beberapa penyokong PAS yang ditemui di situ kesal dengan tindakan itu, yang mereka anggap sebagai menyalahgunakan kemudahan TNB bagi tujuan pilihanraya umum kali ini.

Pengerusi TNB Dato' Dr Awang Adek Hussain, bertanding atas tiket BN di Parlimen Bachok menentang Wan Nik Wan Yusuf dari PAS.

"Tidak sepatutnya kenderaan rasmi TNB digunakan untuk tujuan mengangkut penyokong parti politik, khususnya BN, untuk majlis penamaan calon seperti ini. Ini jelas menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kemudahan agensi kerajaan," tambah seorang penyokong PAS.

Pada umumnya majlis penamaan calon pagi ini berjalan lancar dan PAS yakin mampu pertahankan kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti yang selesa sepertimana pilihanraya lalu.

Dalam pilihanraya umum 1999, Wan Nik Yusof memperolehi 24,820 undi untuk menewaskan calon BN, Dr Azaki Ishak dengan majoriti 9,817 undi.

Kerja kuat

Bagaimanapun, pada kali ini, pihak PAS telah bekerja lebih kuat untuk menjamin kemenangan itu memandangkan calon BN, Dr Awang Adek, juga mempunyai pengaruh di kawasan tersebut.

Beberapa ahli Umno yang ditemui di sekitar jajahan tersebut berkata, banyak perubahan yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang, Jelawat dan Perupuk, kesemuanya dalam Parlimen Bachok, yang mendorong ada di kalangan penduduk tempatan yang beralih kepada Umno.

"Ini ditambah lagi dengan ketokohan calon BN seperti Dr Awang Adek. Kerana itulah kami menjangka kemungkinan besar akan berlaku perubahan dalam pilihanraya umum kali ini."

Sementara itu, kalangan penyokong PAS pula yakin parti itu dapat mengekalkan kerusi Parlimen tetapi mungkin dengan majoriti yang agak rendah berbanding tahun 1999. Bachok merupakan kubu kuat PAS di Kelantan.

Sementara itu, calon parti Keadilan bagi kerusi Parlimen Kota Bharu, Nik Mahmud Nik Hassan dijangka menang mudah bagi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum kali ini.

Penyokong Keadilan yang ditemui rata-rata yakin parti itu akan menang di Kota Bharu berikutan berlakunya beberapa kekecohan berhubung isu pencalonan wakil BN di kawasan berkenaan.

Kekecohan

Menurut mereka, nama Datuk Zaid Ibrahim pada awalnya tidak tersenarai sebagai calon BN di Kota Bharu. Namanya, hanya tersenarai setelah beliau sendiri membantah perkara itu.

Sehubungan itu, para penyokong Keadilan dan PAS yakin pergeseran di kalangan ahli-ahli Umno khususnya di antara penyokong Zaid ( kiri ) dan Datuk Mustafa Mohamad yang juga pengerusi Umno Kelantan, akan membantu memudahkan lagi Keadilan menang di kerusi tersebut.

Selain itu, kata mereka, pengundi di situ juga tidak bersetuju dengan tindakan Zaid membawa isu Hudud yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan PAS ke mahkamah.

"Mereka beranggapan tindakan Zaid ini sebagai satu tindakan yang sangat keterlaluan kerana sanggup mencabar hukum tuhan dan perbuatan ini tidak boleh dimaafkan," kata seorang pekerja PAS di situ.

Keyakinan itu juga, katanya, adalah berdasarkan kepada majoriti besar 10,206 undi yang diperolehi oleh calon Keadilan, Ramli Ibrahim dalam pilihanraya umum 1999.


Laporan Saifuddin Khalifa, Ahmad Banu dan Iskandar Arif