Kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Barisan Nasional (BN) dan Barisan Alternatif (BA) pada 21 Mac ini.

BN meletakkan calonnya di semua kawasan parlimen dan DUN terbabit manakala PAS, yang memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999, meletakkan calon di tujuh kawasan Parlimen dan 31 DUN.

Menurut Bernama , Keadilan pula hanya meletakkan seorang calon bagi kerusi Parlimen iaitu di Kemaman dan seorang bagi kerusi DUN Telemung.

Dalam pilihan raya lalu, PAS memenangi tujuh kerusi Parlimen manakala Keadilan satu. Bagi kerusi DUN pula, PAS menang di 28 kerusi manakala BN empat kerusi. Pertandingan satu lawan satu dijangka sengit di empat kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Marang, Besut dan Dungun.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Terengganu dari PAS Dr Syed Azman Syed Nawawi dicabar oleh bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Razali Ismail.

Manakala Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan dicabar di Parlimen Marang oleh Datuk Abdul Rahman Bakar dari BN yang pernah menewaskan beliau pada pilihanraya umum 1986.

Ketua Pemuda

Abdul Hadi juga akan mempertahankan DUN Ru Rendang menentang Ketua Pemuda Umno Marang, Datuk Tengku Zainuddin Tengku Zahid manakala Datuk Mustafa Ali pula akan ditentang calon BN Yahya Khatib Mahmud di di Pengkalan Berangan.

Manakala timbalan pengerusi Umno Terengganu Datuk Idris Jusoh ( kanan ), yang disebut-sebut akan menjadi Menteri Besar jika BN berkuasa semula, bertanding di kerusi DUN Jertih menentang Hassan Salleh.Ketua Pemuda Umno Terengganu Din Adam akan menentang penyandang Roslan Ismail di Bukit Besi yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 87 undi pada 1999.

Manakala di Besut, PAS meletakkan calon luar Terengganu iaitu Setiausaha Agungnya, Nasharuddin Mat Isa, yang sebelum ini ahli Parlimen Yan, Kedah.

Di Hulu Terengganu, Calon BN Tengku Putera Tengku Awang pula menentang penyandang Muhyidin Abdul Rashid. Tengku Putera menang kerusi DUN Telemung pada 1999.

Manakala di Parlimen Kemaman, Timbalan Ketua Umno Bahagian Ahmad Shabeery Cheek akan mencabar penyandang yang juga Pengerusi Keadilan Terengganu Abdul Rahman Yusof.

Sementara itu di Perlis, Shahadi Othman dan Rashdan Majid melaporkan bahawa proses penamaan calon adalah terkawal dengan penyokong kedua-dua pihak tenang mematuhi segala arahan pihak polis dan tidak bertindak liar.

Terkawal

Mereka berarak sejak jam 8:30 pagi ke tempat penamaan di Maktab Rendah Sains Mara, Beseri (bagi parlimen Padang Besar), Dewan Warisan (Kangar) dan Dewan Sivik (Arau), dengan masing-masing membawa poster dan bendera parti.

Di Arau - antara kawasan yang paling panas di Perlis - kira-kira 400 penyokong PAS dan BN berhimpun di atas jalan raya di depan pintu masuk ke Dewan Sivik di situ.

Kehadiran tokoh-tokoh berpengaruh kedua-dua parti, disambut dengan laungan takbir dan selawat di pihak PAS, di samping nyanyian lagu Umno dan sekali-sekala kedengaran laungan "hidup Melayu'" dan "hidup BN" di pihak BN.

Haron Din dan Shahidan Kassim secara rasminya akan bertanding merebut kerusi DUN di Tambun Tulang. Manakala Mastika Junaidah pula akan menentang pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin di DUN Sanglang.

Harun Din juga bertanding kerusi Parlimen menentang Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, dari keluarga diraja Perlis.

Di Kangar, proses penamaan calon bagi Kerusi Parlimen Kangar di Dewan Warisan berjalan dengan lancar dan turut membabitkan pencalonan bagi DUN Kayang, Indera Kayangan, Bintong, Sena, Kuala Perlis.

Calon BN bagi Parlimen Kangar adalah Datuk Radzi Sheikh Ahmad, menentang Ustaz Ishar Saad dari PAS.

Bekerja kuat

Sementara itu di Kuantan, Long Kim Yung melaporkan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa calon-calon BN, khususnya di kawasan Parlimen Pekan yang ditandinginya supaya bekerja kuat untuk menjamin kemenangan BN.

Beliau juga menegaskan betapa pentingnya perpaduan dikekalkan dalam Umno, MCA dan MIC di samping bekerja bersungguh-sungguh dalam pilihanraya umum kali ini.

Najib jug percaya rakyat akan membuat penilaian wajar ketika membuang undi mereka pada 21 Mac nanti.

Di samping itu, katanya, beliau tidak gentar menghadapi lawannya di Parlimen Pekan walaupun apa juga isu yang mahu pembangkang bangkitkan sewaktu kempen piliharaya kali ini.

Sebaliknya, beliau yakin bahawa BN akan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya kesebelas ini.