BERITA

Dr Dzul: PAS sedia dipimpin bukan Melayu

Salhan K Ahmad

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Feb 2012, 11:32 tengahari

Pengarah Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata parti itu bersedia melantik pemimpin dari kalangan bukan Melayu dan bukan Islam ke jawatan kanan di parti berkenaan.

NONE "Ya, kita bersedia," katanya yang menambah, keadaan itu boleh dilihat apabila PAS yang dahulunya banyak bertapak di kawasan majoriti Melayu, kini lebih diterima di kawasan bukan majoriti Melayu.

Perkara itu merupakan hasil daripada usaha transformasi yang dijalankan parti itu yang membolehkannya menjadi lebih inklusif, kata ahli parlimen Kuala Selangor itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya satu program wacana di Shah Alam hari ini mengenai perpecahan sokongan di kalangan orang Melayu.

Jelasnya, perkara itu hanya melibatkan perkara urus tadbir yang dibolehkan dalam Islam.

Ketika diminta menjelaskan perkara itu dalam sidang media selepas itu, Dzulkefly berkata ketetapan seperti itu boleh diubah mengikut tuntutan masa.

azlan Tetapi buat masa ini mungkin belum sampai masanya untuk PAS berbuat demikian, katanya.

"Kalau sudah diutarakan kita bincang dalam muktamar dan kita putuskan bersama," katanya lagi.

Perkara itu ditimbulkan oleh moderator wacana tersebut Dr Maszlee Malik apabila Dr Dzulkefly menimbulkan mengenai kesan gerakan Arab Spring yang didakwa turut memberi kesan kepada PAS.

Dr Maszlee bertanya sekiranya PAS sedia bertindak seperti Muslim Brotherhood and Justice Party di Mesir yang melantik seorang pemikir Kristian sebagai naib presiden.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.