Rais: Calon MB dipilih oleh parti majoriti
Terdapat kekaburan yang ketara dalam peruntukan perlembagaan negeri berhubung pelantikan Menteri Besar berbanding dengan pelantikan Perdana Menteri di peringkat pusat, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Terdapat kekaburan yang ketara dalam peruntukan perlembagaan negeri berhubung pelantikan Menteri Besar berbanding dengan pelantikan Perdana Menteri di peringkat pusat, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Kekaburan itu ialah perlembagaan negeri tidak menjelaskan secara khusus mengenai kedudukan Sultan atau Raja dalam pelantikan MB dan undang-undang mengenai pelantikan MB juga tidak pernah dipinda sejak tahun 1957 lagi," katanya apabila diminta mengulas mengenai
rombakan
senarai calon BN Johor pada saat-saat akhir ekoran campurtangan Istana Johor.
Menurut laporan
Bernama
, atas permintaan istana, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman yang sepatutnya berpindah ke kerusi Parlimen Ledang kembali ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom.
Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Khaled Nordin yang diramal menggantikan Ghani sebagai Menteri Besar dan bertanding di DUN Tiram terpaksa berpindah ke Parlimen Pasir Gudang.
Menurut Rais, yang sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam keadaan biasa mengikut Perlembagaan Persekutuan, sekiranya Sultan tidak bersetuju dengan pelantikan Menteri Besar yang dicadangkan oleh parti majoriti selepas pilihanraya, Perdana Menteri boleh menasihatkan Sultan berkenaan.
"...kes di Johor itu unik dan sensitif kerana ia merupakan kes pertama yang berlaku di negara ini yang menyaksikan campurtangan istana pada peringkat awal lagi (sebelum penamaan calon) dan bukannya selepas kemenangan dalam pilihan raya umum," tambahnya.
Rais menegaskan demikian ditemui selepas menyerahkan borang pencalonannya bagi kerusi Parlimen Jelebu. Beliau dicabar oleh Pesuruhjaya PAS negeri Dr Rosli Yaakop.
Nasihat Perdana Menteri
Dalam pilihanraya umum 1999, Rais memenangi kerusi itu selepas menewaskan calon Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Jaafar Muhammad dengan majoriti 7,119 undi.
Rais melahirkan rasa terkejut dan tidak menduga perkara itu akan berlaku kerana Perlembagaan Malaysia menetapkan supaya Sultan atau Raja secara amalan konvensyen dan undang-undang perlu menerima nasihat Perdana Menteri.
"Cuma nasihat Perdana Menteri dalam musim interim ini sahaja yang tidak terlibat dan perlembagaan negeri masih menyatakan bahawa Sultan atau Raja mempunyai kuasa penuh untuk (menentukan) jawatan Menteri Besar," katanya.
Ditanya adakah perlu pindaan dilakukan ke atas perlembagaan negeri, Rais berkata tindakan itu bergantung kepada Perdana Menteri untuk mencorakkannya mengikut kepentingan negara.
Adalah difahamkan beberapa orang Sultan telah meminta agar menteri besar masing-masing supaya tidak dipindahkan ke kerusi Parlimen.
Desas-desus mengatakan menteri besar terbabit ialah Datuk Seri Adnan Yaakob di Pahang, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Selangor dan Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis.
Bagaimanapun, menteri besar terbabit menafikan perkara tersebut. Kesemua mereka kekal bertanding di kawasan masing-masing walaupun sebelum ini timbul spekulasi yang mereka akan dipindahkan ke kerusi Parlimen.
Adik kepada Yang di-Pertuan Agong, Syed Razlan Jamalullail turut disenaraikan kali ini untuk mewakili Barisan Nasional bertanding di kerusi Parlimen Arau, menentang ketua penerangan PAS pusat, Datuk Harun Din.

