Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mempertikaikan kewajaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melantik golongan berkepentingan politik ke jawatan profesional bagi menerajui syarikat berkaitan kerajaan.

NONE Katanya, ketika masyarakat bumiputera digalak untuk meningkatkan standard profesionalisme setanding yang terbaik di dunia, tindakan Najib itu membawa orang Melayu ke belakang.

“Sebagai seorang pengasas PUNB – sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad di mana saya telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) –  saya berbangga dengan pencapaian PUNB yang selama ini diterajui profesional yang berkebolehan.

“Walaupun peringkat pengubal dasar terdiri daripada ahli ahli politik tetapi mereka tidak campur tangan dalam operasi.

“Malah Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada golongan profesional berpengalaman yang tidak mempunyai kepentingan politik atau kumpulan berkaitan dengan politik,” kata Abdul Khalid.

Beliau mengulas laporan Business Times semalam bahawa Putrajaya akan melantik Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai pengerusi PUNB.

Menurut Abdul Khalid sekiranya perkara itu menjadi kenyataan,  tindakan Najib hanya mensia-siakan usaha kumpulan profesional Melayu dan bumiputera yang telah bekerja keras untuk membawa PUNB hingga ke tahap sekarang ini.

NONE “Perdana Menteri tidak sepatutnya mensia-siakan usaha mereka ini dengan melantik Khairy Jamaluddin ( kiri ) yang tidak berkeupayaan dan tidak berpengalaman menguruskan badan korporat yang sudah berjaya.

“Beliau sekali lagi gagal mengutamakan antara kepentingan dengan profesionalisme. Tindakan ini bukan petanda baik kepada kaum bumiputera dan Malaysia khasnya,” katanya.

Menurut beliau, bagi pembangunan negara, seseorang pemimpin sepatutnya melihat dalam konteks lebih luas dan berfikir di luar fahaman politik di mana ciri-ciri ini telah diketepikan.