Malaysia Nanban minta maaf kepada Keng Yaik
Akhbar bahasa Tamil, Malaysia Nanban memohon maaf kepada Datuk Dr Lim Keng Yaik berhubung kesilapan dalam laporan akhbar itu yang menyebut presiden parti Gerakan itu menyifatkan masyarakat India sebagai "tin kosong".
Akhbar bahasa Tamil, Malaysia Nanban memohon maaf kepada Datuk Dr Lim Keng Yaik berhubung kesilapan dalam laporan akhbar itu yang menyebut presiden parti Gerakan itu menyifatkan masyarakat India sebagai "tin kosong".
Dalam surat kepada Dr Lim, akhbar itu menjelaskan, laporan itu yang diterjemah daripada berita yang sebelumnya di siarkan dalam akhbar the Malay Mail , adalah tidak tepat.
Berikutan itu, ketua pengarangnya, M Rajenthiram berkata, pihaknya telah menyiarkan penjelasan Dr Lim serta penjelasan daripada Datuk Vijayaratnam dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berhubung perkara itu semalam.
Sambil menyatakan rasa kesalnya terhadap kesilapan itu, beliau berkata, selama ini, akhbarnya sentiasa melaporkan berita-berita yang berkaitan dengan parti dan pemimpin Greakan.
Selain itu, katanya, akhbarnya juga merancang menyiarkan berita-berita mengenai pencapaian parti Gerakan, selaras dengan dasar terbukanya kepada semua parti politik di negara ini.
Sudah selesai
Sementara itu, Dr Lim dalam satu kenyataannya berkata, beliau berpuashati dengan surat meminta maaf daripada akhbar berkenaan berhubung laporan tersebut.
Dr Lim berkata, pada mulanya beliau bercadang untuk mengambil tindakan terhadap
Malaysia Nanban
, tetapi selepas menerima surat tersebut, beliau menyifatkan kes itu sebagai sudah selesai.
Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak media massa lebih berhati-hati bagi mengelak timbulkan isu-isu yang boleh menjejaskan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau juga berharap masyarakat India, khususnya ahli-ahli Gerakan dari kalangan kaum India kini telah memahami keadaan sebenar berhubung laporan dalam akhbar Malaysia Nanban itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.