Seorang wakil rakyat DAP dimaki dan dipukul oleh seorang wakil Barisan Nasional di ruang legar Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Datuk Zakaria Mat Derus (BN-Selat Klang) memukul Teng Chang Khim (DAP- Bandar Klang) selepas berlaku pertengkaran lisan mengenai penggunaan istilah yang sesuai.

"Datuk Zakaria melemparkan provokasi kepada Teng dengan mengatakan beliau tidak berhak membicarakan soal halal-haram dan menuding jarinya kepada Teng sambil menyebut perkataan 'babi Cina'," kata Azmin Ali (Keadilan-Hulu Klang) kepada malaysiakini.

Teng membantah penggunaan kata-kata kesat itu dan kemudian Zakaria menerkam dan menampar muka beliau, jelas Azmin lagi, menceritakan kejadian itu berlaku semasa dewan negeri ditangguhkan jam 11 pagi ini.

"Dalam masa yang sama (dipercayai) seorang pembantu Zakaria yang tidak sepatutnya berada di ruang tersebut masuk dan menumbuk muka Teng dan terus menghilangkan diri," kata Azmin lagi.

Dalam sidang dewan negeri itu pagi tadi, Teng telah membantah penggunaan istilah "industri haram" dan mencadangkan ia digantikan dengan perkataan yang lebih sesuai seperti penggunaan "pendatang haram" ditukar kepada "pendatang tanpa izin."

Teng mengulas soalan Dr Lim Choon Kim (BN-Damansara Utama) yang meminta kerajaan mengawal industri-industri dan kilang-kilang haram yang semakin bercambah di negeri itu.

"Isu itu telah selesai apabila sidang memutuskan tidak ada masalah untuk meminda istilah tersebut," jelas Azmin, sambil melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu.

Katanya, peristiwa ini membuktikan sikap tidak matang pemimpin Umno yang tidak mampu berhujah dengan kenyataan dan fakta tetapi menggunakan tindakan fizikal.

"Budaya samseng ini perlu dihentikan segera dan pemimpin-pemimpin Umno khususnya harus menghormati pandangan orang lain yang diasaskan kepada kebijaksanaan dan kenyataan sebenar," kata Azmin lagi.

Beliau menjelaskan wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif menemui Menteri Besar, Datuk Mohamad Khir Toyo dan mendesak beliau supaya mengambil tindakan tegas terhadap wakil rakyat BN dan pembantunya itu.

Ketika dihubungi, Teng yang juga Ketua Pemuda DAP bagaimanapun enggan mengulas lanjut kejadian itu.

Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor selama tiga hari bermula hari ini.