Kelewatan amah Indonesia kerana belum kursus 200 jam
Kemasukan pembantu rumah Indonesia ke negara ini telah ditangguhkan ke 1 April daripada jadual asal 1 Mac lepas disebabkan tenaga kerja berkenaan belum menjalani latihan dan kursus selama 200 jam sebagaimana ditetapkan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.
Beliau berkata, latihan berkenaan adalah penting untuk dilalui mereka bagi memastikan pembantu rumah yang dihantar ke negara ini berkualiti dan memenuhi kehendak majikan.
"Pada masa ini pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan kerajaan Indonesia sedang memantau supaya tarikh asal ditangguhkan sebulan lagi kerana pembantu rumah yang akan dibekalkan ke sini belum menjalani kursus 200 jam berkenaan,” katanya.
Penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan kes penderaan oleh seorang pegawai tinggi kerajaan dan isterinya terhadap dua pembantu rumah Indonesia mereka baru-baru ini, katanya kepada pemberita selepas meninjau projek perumahan terbengkalai di Rompin hari ini.
Katanya, antara syarat yang dipersetujui kedua-dua negara ialah pembantu rumah perlu menjalani latihan selama 200 jam sebelum dihantar ke negara ini manakala majikan perlu membekalkan profil permohonan kepada kerajaan Indonesia yang kemudiannya akan memberi biodata pembantu rumah untuk dipilih.
- Bernama

