Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tun Daim: Hutang negara masih terkawal
Diterbitkan:  Mar 5, 2012 6:23 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Kadar hutang negara masih pada paras yang boleh diurus dan Malaysia tidak akan muflis menjelang 2020 seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

daim zainuddin Di samping itu, segala pinjaman yang dibuat oleh kerajaan adalah bersumberkan daripada pinjaman domestik, kata Daim, yang juga merupakan penasihat ekonomi kerajaan Malaysia pada tahun 1990an.

"Satu perkara penting mengenai hutang negara adalah kebanyakannya ia diperoleh daripada pinjaman domestik.

"Jenis pinjaman ini lebih stabil dan tidak mendedahkan Malaysia kepada aliran keluar modal besar secara tiba-tiba," katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan semalam.

Daim berkata, walaupun beberapa penganalisis bimbang kadar hutang negara dijangka meningkat 1.3 peratus kepada 54.8 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, berbanding 53.1 peratus pada 2010, kenaikan ini adalah wajar sebagai tindak balas terhadap krisis kewangan global yang bermula pada penghujung 2008.

"Kenaikan terkini adalah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi dunia dan subsidi besar yang diperlukan untuk menampung kenaikan harga barang makanan dan tenaga," katanya.

Beliau menegaskan paras hutang negara tidak mungkin mencapai 100 peratus pada 2019 kerana pihak kerajaan telah berazam untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 4.7 peratus pada 2012 yang akan mengurangkan keperluan kenaikan dana (hutang).

Justeru, beliau berkata situasi hutang negara tidaklah amat mencemaskan seperti yang dicanang oleh beberapa pihak.

"Secara peribadi saya akan menasihatkan kerajaan untuk mengawal dan menurunkan hutang berkenaan.

"Ini baik untuk kerajaan dan juga menjawab segala kritikan mengenai isu berkenaan," katanya.

Daim sokong model ekonomi Najib

Pada wawancaranya itu, Daim juga menyokong model ekonomi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kerana ia memberi Malaysia arah masa depan yang lebih baik.

Bekas Menteri Kewangan dan penasihat ekonomi kerajaan itu berkata pembangunan ekonomi negara bergantung kepada bagaimana efisien penggunaan sumber, persaingan antara pekerja serta kepakaran pekerja dalam negara.

najib tun razak press conference Malaysia mempunyai asas untuk menjadi ekonomi yang hebat kerana mempunyai tenaga kerja, sumber dan infrastruktur, institusi dan polisi yang fleksibel bagi menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.

"Kita sepatutnya mempengaruhi masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik untuk memaksimumkan kelebihan lokasi di Asia, rantau paling cepat berkembang di dunia," kata beliau.

Selain itu, Daim berkata Malaysia adalah negara berpendapatan sederhana dan rakyat mempunyai kualiti hidup yang boleh dikatakan tinggi, bagaimanapun, cabaran bagi ekonomi Malaysia adalah berbeza berbanding pada ketika negara masih berpendapatan rendah.

"Pelbagai strategi dan pelan telah disediakan untuk membawa Malaysia kepada peringkat pembangunan yang lebih tinggi.

"Ekonomi Malaysia mempunyai kelebihan terutama dalam aktiviti berasaskan pengetahuan seperti teknologi maklumat dan komunikasi, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, sektor kewangan, logistik dan pengangkutan.

azlan "Sektor pembuatan dengan industri elektronik yang besar telah membangunkan tahap kecekapan pada paras yang baik dan kehadiran eksport yang kuat, seperti sektor pertanian terutama dalam industri minyak sawit adalah kompetitif," katanya.

Menurut Mingguan Malaysia , berdasarkan laporan terkini Bank Pembangunan Asia, ekonomi Asia seperti China, India, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand akan menanggung 45 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia menjelang 2050.

Sementara itu, seluruh rantau Asia akan menanggung 51 peratus KDNK global pada 2050, malah nilai KDNK akan meningkat kepada US$148 trilion bagi seluruh rantau Asia.

Laporan HSBC yang dilakukan tahun lepas bertajuk “Dunia pada 2050” mengenalpasti China, India, Filipina, Mesir diikuti Malaysia termasuk di kalangan 26 negara teratas

- Bernama

ADS