Pemuda PAS: PM sengaja cari alasan elak debat
Pemuda PAS melihat kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau sedia berdebat dengan sesiapa saja yang berfikiran munasabah dan serius mengenai masa depan negara sebagai alasan untuk mengelakkan perkara itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor mendakwa, Najib takut berdepan pemimpin Pakatan Rakyat dan terus mencari elak bagi mengelakkan pertembungan yang boleh menjatuhkan kredibilitinya.
"Pemuda PAS merasakan Datuk Seri Najib lebih suka memilih ‘menembak dari jauh' atau melalui satu pihak sahaja iaitu menggunakan sepenuhnya media utama negara daripada berdepan dengan hujah balas pihak lawan." katanya.
Dalam kenyataannya hari ini, Riduan berkata, kenyataan Najib itu mengulangi episod pemimpin Umno terdahulu yang didakwa gemar menyerang pembangkang melalui media tanpa diberi peluang mengemukakan hujah balas.
Najib malam tadi dilaporkan sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara.
Perdana menteri berkata, sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.

