Calon popular PAS untuk Parlimen Arau dan DUN Tambun Tulang, Dr Harun Din hari ini menyatakan kekesalan atas laporan pemuda Umno kepada pihak polis bahawa dia memesongkan akhidah umat Islam dengan 'air jampi'.

Menurutnya, 'jampi' merupakan perkatan dalam bahasa Melayu; bahasa Arabnya 'Doa'. "Jadi, salahkah untuk berdoa," tanya beliau.

"Api ni? Sampai nak berdoa kepada Allah ada orang report (lapor) polis," katanya dalam sebuah ceramah dekat Beseri, sebuah Dun dalam kawasan Padang Besar malam tadi.

Laporan Pemuda Umno tersebut dibuat pada 2:30 petang ini.

Sebelum ini lawannnya untuk kerusi Tambun Tulang, yang juga Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim telah membuat laporan bahawa Harun telah menyerang peribadinya dalam sebuah ceramahnya sebelum ini.

Untuk tuduhan itu, beliau tegas menafikannya.

"Saya tidak attack (serang) peribadi, saya attack (dasar) dasar," katanya lagi.

Shahidan sebelum ini memenangi kawasan DUN tersebut dengan majoriti kecil 877 undi mengalahkan Ismail Ahmad, juga dari PAS.

Turut berceramah bersamanya pada malam itu ialah Mohd Anuar Mohd Tahir (Dun Beseri) dan Wan Kharizal Wan Khazim (Parlimen Padang Besar).

Tiada sabotaj

Sementara itu, ura-ura yang mengatakan bahawa berlaku sabotaj dalaman di kawasan Dewan Undangan Negeri Pauh, dalam Parlimen Arau adalah tidak dapat dibuktikan.

Mengikut khabar awalnya, terdapat beberapa ahli Umno yang tidak puas hati dengan pemilihan calon, telah menutup pondok panas mereka sendiri. Pondok panas tersebut terletak di Kampung Padang Telela antara jalan Pauh dan Kodiang, Kedah.

Mengikut penduduk tempatan yang dihubungi malaysiakini , Rosnah Mat Saman, 48, seorang penoreh getah, tak ada apa-apa yang berlaku.

Tetapi beliau tidak menafikan bahawa pondok tersebut ditutup.

"Bangsal tu tak dipunggah, cuma pindah dekat dewan (orang ramai) dalam kampung," katanya.

Setakat ini beliau tidak mendengar sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Seorang lagi penduduk kawasan tersebut yang ingin namanya dirahsiakan berkata, memang ada berlaku perpecahan dalaman dalam pemilihan calon BN untuk kawasan ini pada awalnya. Tetapi pondok tersebut bukanlah ditutup atas sebab itu, kata guru berumur 41 tahun.

Pengundi Cina

Kerusi Pauh kini berlaku pertarungan dua penjuru antara Bakar @ Abu Bakar Ismail (BN) dan Bakar Ali (PAS). Bakar Ismail merupakan penyandang terdahulu untuk kerusi ini setelah menewaskan calon Keadilan Zulmi Sabri dengan majoriti 1663.

Menurut Timbalan Pengerusi Tetap DUN Pauh, Ahmad Mat Noh, 60, perpecahan dalaman Umno di kawasan ini adalah bersifat sementara dan tidak serius. Beliau lebih bimbangkan berlakunya 'pembelotan' di kalangan ahli MCA dan MIC yang peratusan pengundi mereka semakin bertambah.

"Kemengangan kali ini bergantung kepada pengundi Cina dan India," katanya lagi.

Seorang lagi ahli Umno di Arau, melihat perpecahan yang sebenarnya ialah disebabkan krisis kepercayaan terhadap Menteri Besar yang sedia ada, Dato' Seri Shahidan Kassim.

Setakat ini, ahli MCA tidak dapat dihubungi kerana tiada petugas di pondok panas mereka di pekan Pauh, dekat sini.