Warga Liberia maut ketika lari serbuan polis
Seorang lelaki warga Liberia dipercayai anggota sindiket mengedar dadah, maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah blok apartmen di Taman Desa Millennia, Puchong di Kuala Lumpur, ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis pukul 2 petang semalam.
Ketua Polis Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata lelaki itu terjatuh apabila paip PVC yang dipijaknya di balkoni apartmen dalam cubaan ke apartmen sebelah, patah.
"Mayat lelaki yang berumur 20-an itu dibawa ke Hospital Serdang dan akan dibedah siasat kira-kira 8.30 pagi esok," katanya ketika dihubungi semalam.
Yahaya berkata dalam serbuan tersebut, polis menahan tujuh lelaki iaitu tiga dari Liberia, dua warga Guinea dan dua dari Nigeria serta seorang wanita warga Ghana.
Mereka berumur antara 29 dan 43 tahun.
"Turut ditemui 1.47 gram ganja dan kesemua mereka positif dadah," katanya, sambil menambah siasatan awal mendapati empat daripada mereka berada di negara ini menggunakan pas belajar.
"Rumah tersebut disewa oleh kesemua mereka kecuali suspek wanita tersebut dan semasa serbuan mereka dipercayai baru selesai menghisap dadah," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952.
- Bernama

