Nasihat veteran Umno Kedah: Menyesal kemudian tidak berguna
Para pemimpin veteran Umno Kedah hari ini mengingatkan ahli dan kalangan pemimpin Umno di negeri itu mengenai pentingnya bagi mereka mengetepikan pergeseran sesama sendiri kerana soal pemilihan calon, demi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan yang diharapkan.
Para pemimpin veteran Umno Kedah hari ini mengingatkan ahli dan kalangan pemimpin Umno di negeri itu mengenai pentingnya bagi mereka mengetepikan pergeseran sesama sendiri kerana soal pemilihan calon, demi memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kejayaan yang diharapkan.
Sebilangan pemimpin veteran Umno yang ditemui malaysiakini melahirkan rasa tidak selesa mereka apabila mendapat tahu adanya di kalangan pemimpin dan ahli Umno Kedah yang dikatakan tidak membantu kempen kerana kecewa tidak terpilih menjadi calon.
Mereka kecewa kerana generasi baru Umno mudah lupa peristiwa hitam sebelum ini yang mengakibatkan parti itu kehilangan kekuasaan di Kelantan (1990), Terengganu (1999) dan hilang majoriti dua pertiga di Kedah (1999).
Oleh itu, mereka berharap pihak-pihak terbabit bersedia menerima nasihat ikhlas mereka ini semata-mata untuk kebaikan parti, dan kembali semula bergabung tenaga berkempen habis-habisan sepanjang tiga hari terakhir ini.
Berikutan kemelut dalaman Umno itu, PAS sehingga ini yakin mampu memenangi 9 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dan 22 kerusi DUN di Kedah.
"Tahukah mereka, kemenangan pembangkang, khususnya parti PAS di ketiga-tiga negeri tersebut adalah akibat daripada perpecahan dalam Umno sendiri? Sungguh malang sekali, generasi Umno sekarang merupakan golongan yang mudah pelupa!" kata seorang pemimpin veteran Umno yang ditemui malaysiakini di kedah.
Ditanya sama ada malaysiakini boleh memetik namanya, beliau yang kini sudah berusia hampir 65 tahun berkata: "Saya rasa tak payahlah yang penting ialah nasihat saya kalau mereka nak dengar dengarlah Saya tidak mahu nasihat ikhlas saya ini disalahfaham pula nanti lain pula ceritanya"
Generasi baru
"Mungkin mereka ini perlu diingatkan kepada sejarah hitam yang melanda Umno di Kelantan pada 1990 dan di Terengganu pada 1999. Malah di Kedah sendiri, BN kalah satu pertiga kerusi negeri dan separuh kerusi Parlimen," katanya dalam nada agak sedih.
Sambil melahirkan rasa kecewanya terhadap perkara itu, beliau bertanya: "Apakah bagi mereka ini yang penting hanyalah jawatan dalam parti? sungguh sayang sekali kerana Umno mempunyai generasi pemimpin seumpama ini."
Katanya, beliau begitu kecewa sekali apabila BN Kedah kalah teruk dalam pilihanraya umum 1999 sehingga kehilangan 12 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.
Pada pilihanraya kecil DUN Lunas setahun kemudiannya, BN turut kehilangan kerusi tersebut mengakibatnya kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.
"Memang semua pihak dari Umno, malah PAS sendiri mengakui bahawa kemenangan PAS di Kedah itu, bukanlah kerana kekuatannya sendiri, sebaliknya akibat kemelut dalam Umno sendiri.
"Bagaimanapun, ada juga pihak yang mendakwa ianya juga kerana pengaruh presiden PAS ketika itu, Datuk Fadzil Noor. Kini beliau sudah tiada jadi tidak timbulkan soal pengaruh beliau dalam menentukan kemenangan PAS di Kedah.
"Kalau PAS menang juga kali ini, ternyatalah ia bukanlah kerana pengaruh Datuk Fadzil, tetapi masalah dalaman Umno. Melihat apa yang berlaku sekarang, nampaknya memang benar perkara itu," katanya lagi.
Berebut calon
Seorang lagi pemimpin veteran Umno yang ditemui juga menyifatkan cara kepimpinan baru Umno membuat pemilihan calon dengan meminta setiap bahagian menghantar lima nama, juga menjadi salah satu faktor timbulnya masalah sekarang.
"Pada masa saya dahulu, kalau kita sudah ada seorang pemimpin yang layak dan diterima oleh semua pihak di bahagiannya, maka namanya seorang sahajalah yang kita cadangkan kepada pucuk pimpinan.
"Tetapi apabila kita menghantar lima nama, kerana diminta berbuat demikian, maka kita sebenarnya memberi harapan kepada banyak orang untuk menjadi calon. Apabila tidak terpilih, maka ada yang kecewa, walaupun sebelum ini, tidak terlintas sedikitpun di hati mereka untuk menjadi calon," tegasnya.
Menurutnya, kaedah seumpama memang baik kerana pucuk pimpinan mempunyai banyak pilihan dan ramai yang berpeluang untuk menjadi calon, kalau tidak sekarang, mungkin pada masa depan.
"Tetapi niat baik pucuk pimpinan ini sering disalahertikan oleh mereka ini. Kalau masa dulu, ketika Umno berkuasa di semua negeri, cara baru ini tidak akan membawa masalah.
"Tetapi dalam keadaan sekarang di mana Umno mahu menawan semula Kelantan, Terengganu dan mendapat kembali majoriti dua pertiga di Kedah, ia boleh membawa padah lihat sahaja apa yang sedang berlaku sekarang," tegasnya.
Seorang lagi pemimpin Umno veteran Umno berharap Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memberi nafas baru ke arah mengembalikan kekuatan Umno di seluruh negara.
Tebus semula
"Setahu saya PAS tidak sekuat mana di negeri ini. Kekuatan parti pembangkang itu adalah dijana di atas kelemahan Umno sendiri," tambahnya.
Katanya, ini terbukti apabila Umno tewas di Kelantan pada 1990 selepas parti Semangat 46 (S46) pimpinan bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh bergabung dengan PAS dalam pilihanraya umum pada tahun tersebut melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
"Dan sekali lagi bekas pemimpin dan ahli Umno bergabung tenaga dengan PAS melalui parti Keadilan, dan Barisan Alternatif (BA) untuk menawan Terengganu pada pilihanraya umum 1999.
"Dalam kedua-dua peristiwa tersebut, yang untung adalah PAS dan yang rugi adalah Umno. Ini kerana walaupun S46 kemudian dibubarkan, Umno masih gagal menawan semula Kelantan hingga sekarang," tambahnya.
Malah, katanya, keputusan pilihanraya kecil DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang pada 2002, jelas memperlihatkan apa yang akan terjadi sekiranya pemimpin dan ahli Umno bersatu atau berbalah sesama sendiri.
"Saya berani mengatakan kemenangan BN menawan semula kerusi Parlimen Pendang pada 2002 ialah kerana Umno bersatu, tetapi pada masa yang sama, gagal menawan kerusi DUN Anak Bukit kerana ada yang mempertikai pemilihan calonnya belajarlah daripada pengalaman untuk kebaikan parti," tambahnya.
Oleh itu, beliau menggesa semua pemimpin dan ahli Umno supaya belajar daripada peristiwa lalu bagi menebus kekecewaan parti itu di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dalam pilihanraya umum kali ini.

