KITA: Zakaria tak dapat perdaya rakyat
Parti KITA berkata, kenyataan bekas pengerusinya di Kelantan Zakaria Salleh bahawa mereka tidak menyokong ketuanya Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya umum akan datang tidak memperlambangkan pendirian mereka.
Setiasusaha pusatnya Masrum Dayat berkata, Zakaria kini bukan lagi anggota selepas keluar parti pertengahan tahun lalu.
"Beliau tidak dapat memperdaya orang ramai denagn mendakwa menjadi pengerusi KITA Kelantan," katanya dalam SMS kepada Malaysiakini malam ini.
Bernama sebelum ini melaporkan Zakaria sebagai 'pengerusi' KITA Kelantan sebagai tidak mengiktiraf Zaid sebagai Ketua parti dan menyifatkan segala pergerakannya atas sifat peribadi.
"Kita tidak boleh menerima pemimpin yang tidak mempunyai pendirian dalam politik dan berjuang untuk kepentingan diri," beliau dipetik sebagai berkata kepada agensi berita nasional hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Zaid yang dilapor ingin bertanding di kawasan Parlimen Kota Baharu yang pernah dimenanginya atas tiket BN dalam pilihan raya umum 2004.
Katanya, KITA Kelantan juga memberi sokongan kepada pengerusi KITA Kedah, Zamil Ibrahim untuk mengambil alih jawatan presiden parti daripada Zaid.

