P'raya kampus: Gamis saran panjang tempoh kempen
Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) menyarankan badan bebas dilantik memantau pilihan raya kampus manakala tempoh kempen dipanjangkan dari tiga hari kepada seminggu.
Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Muhammad Akmal Razali berkata ia bertujuan bagi memastikan integriti keputusan pilihan raya kampus serta untuk memberi ruang kepada mahasiswa lebih mengenali wakil mereka.
"Kita tidak mahu mahasiswa memilih hanya kerana paras rupa atau calon yang dikenali sahaja.
"Ini akan menzalimi mahasiswa lain yang lebih layak untuk memimpin mereka," kata Muhammad Akmal dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, Gamis akan terus melihat perkembangan perjalanan pilihan raya kampus sesi ini.
Muhammad berharap pilihan raya kampus yang bakal berlangsung akan berjalan dengan adil dan bersih daripada sebarang anasir ketidakadilan oleh pihak pentadbiran universiti.
"Universiti sebagai tempat melahirkan nilai intelektual dalam masyarakat harus mencerminkan nilai tersebut terutama dalam perkara ini," tambahnya.

