Malaysiakini BERITA

Muslimat PAS pertikai dana PM lawat seluruh negara

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Dewan Muslimat PAS hari ini mempertikaikan wang dana yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi mengadakan lawatannya ke seluruh negara.

Timbalan Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib sepatutnya dapat membezakan bila beliau turun sebagai seorang ketua negara dan sebagai ahli politik.

"Dia seorang perdana menteri, dia juga presiden Umno. Rakyat tak dapat bezakan dia pergi ke setiap negeri-negeri itu sebagai apa?" soalnya dalam satu sidang media hari ini.  

"Sebagai perdana menteri, dia turun menggunakan perbelanjaan rakyat tetapi membuat kerja-kerja untuk parti," katanya yang mendakwa ianya satu penyelewengan dan menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan berkempen untuk Umno.

Selain itu, Mariah turut membidas tindakan Najib yang menurutnya dengan mudah membuat keputusan untuk membatalkan skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran.

Jelasnya, tindakan itu juga menunjukkan Najib tidak serius untuk mentadbir negara.

"Keputusan SBPA dimansuhkan begitu sahaja sedangkan sudah berapa banyak dana kerajaan digunakan untuk membuat perbincangan, mesyuarat dan perbentangan. Ini pembaziran," tambahnya

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mariah juga berkata, Muslimat PAS mensasarkan 50 peratus calon dewan itu daripada golongan muda untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Mariah, beliau yakin bahawa sokongan daripada golongan muda adalah penting bagi menentukan kemenangan PAS.

"Tumpuan Muslimat ialah di kawasan yang ramai pengundi wanita kerana undi wanita adalah penting untuk tentu kemenangan selain daripada undi golongan muda.

"Bagaimanapun, kita akan bekerjasama dengan wanita DAP dan PKR bagi memastikan kemenangan pilihan raya akan datang," katanya

Menurut Mariah, pihaknya telah mengemukakan lebih 30 senarai nama calon kepada pimpinan tertinggi parti bagi memilih calon yang mampu memberi kemenangan kepada PAS.

Beliau berkata, pada masa sama, Muslimat tidak sesekali mengenepikan calon-calon lama yang berpotensi di samping memberi nama baru.

"(Calon) Yang lama kita masih akan kekalkan yang mana ada tempat-tempat tertentu pada pilihan raya dulu mereka bagus. Tetapi nama-nama baru dari golongan muda pun ada.  Ia merangkumi semua kawasan. Luar bandar, dalam bandar. Semua ada.

"Muslimat telah 80 peratus bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan diumumkan pada bila-bila masa. Kami yakin, jika Muslimat di beri peluang, kita boleh dapat sokongan rakyat," katanya.

VIDEO | 1.07 min