Perang poster di Perlis: Keadilan tertinggal
Tempoh kempen bagi pilihanraya umum kali ke-11 kini telah melangkau hari yang keenam dan berbagai-bagai cara telah dilakukan oleh penyokong-penyokong parti masing-masing untuk berkempen.
Tempoh kempen bagi pilihanraya umum kali ke-11 kini telah melangkau hari yang keenam dan berbagai-bagai cara telah dilakukan oleh penyokong-penyokong parti masing-masing untuk berkempen.
Antara yang menarik adalah melalui poster dan bendera yang digantung di sepanjang jalan di sekitar Kangar, Perlis.
Barisan Nasional dan PAS merupakan dua parti utama yang mendominasi kempen pilihanraya kali ini. Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang bertanding tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis iaitu Indera Kayangan, Titi Tinggi dan Kuala Perlis, agak ketinggalan dalam kempen pemasangan bendera dan poster ini.
Dalam bandar Kangar atau DUN Indera Kayangan, sepanjang pemerhatian wartawan malaysiakini , belum ada lagi gambar calon Keadilan yang bertanding di pamerkan, berbanding dengan parti lain. Begitu juga dengan bendera parti, tidak banyak yang digantung di bandar Kangar ini.
Pengarah Pilihanraya Keadilan Perlis bagi masyarakat Cina, Lee Tek Hing,52, ketika di temui menjelaskan bahawa, kempen pilihanraya bagi parti Keadilan di Kangar agak perlahan akibat daripada kelewatan poster-poster sampai ke negeri ini.
Selain itu, katanya lagi, Keadilan negeri Perlis, tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi bagi menjalankan kempen secara besar-besaran. Di samping itu, kekurangan sumber kewangan merupakan penghalang kepada kelancaran kempen pilihanraya kali ke-11 bagi parti tersebut.
"Poster lewat sampai, orang kerja pun tak cukup, parti pun miskin," katanya.
Kempen ke rumah
Walaupun agak kekurangan dari segi kempen melalui poster, mereka telah mengambil pendekatan dengan cara berkempen melalui ceramah secara berkelompok, melakukan kunjungan ke pasar-pasar dan ke rumah-rumah.
Kempen pilihanraya Keadilan kali ini, tidak lagi bergantung kepada isu Anwar Ibrahim semata-mata, ujarnya
Namun begitu, beliau agak kesal dengan syarat supaya ceramah yang dilakukan pada kempen pilihanraya ini perlukan permohonan permit terlebih dahulu.
"Ceramah besar, semua kena permit, buat sikit pun kena permit, harap polis-polis bagi sokongan lah sikit, bagilah bantu sikit, ini pilihanraya," katanya lagi.
Mengenai kerjasama dengan parti PAS di negeri Perlis, beliau menegaskan setakat ini, kerjasama dengan PAS berjalan lancar.
Calon calon Keadilan di Perlis adalah Ko Chu Liang di Titi Tinggi , dimana beliau akan menentang penyandang Loh Yon Foo dari MCA, di Indera Kayangan , Khoo Yang Chong yang akan berdepan dengan penyandang dari MCA Oui Ah Lan dan di Kuala Perlis , Mohd Yusof Ubi yang akan bertarung dengan penyandang dari Umno Bakar Saad.
Terdapat 15 kerusi Dun and tiga kerusi Parlimen di Perlis. Calon calon BN akan bertarung di semua kerusi yang terbabit manakala parti PAS akan cuba memenangi tiga kerusi Parlimen dan bertarung di 12 kerusi ADUN.

