Barisan Nasional sedang cuba sekeras mungkin untuk menawan hati para pengundi di kawasan Parlimen Jeli, Kelantan, hinggakan kain rentang yang memperkecilkan PAS kian banyak menghiasi bandar ini.

Pada tahun 1999, PAS telah berjaya merampas Jeli dari BN apabila calonnya Mohd Apandi Mohammad ( kiri ) menang tipis keatas calon Umno serta penyanding kerusi Datuk Mustapa Mohamed.

Mohd Apandi hanya memperolehi majoriti sebanyak 693 undi, apabila dia mendapat undi sebanyak 15,523 berbanding dengan 14,830 yang didapati oleh pemimpin Umno itu.

Kali ini, kedua dua calon ini akan bertembung sekali lagi bagi kerusi yang mempunyai hampir 99 peratus pengundi Melayu.

Apa yang ketara adalah bendera dan logo BN di samping kain rentang yang melekehkan PAS menghiasi bandar Jeli serta di sepanjang jalan dari Tanah Merah ke Jeli.

Keadaan ini membayangkan kesungguhan BN untuk merampas Jeli daripada PAS.

Hal ini ditambah lagi dengan beberapa projek pembangunan yang pesat dilakukan.

Siapa akan menang

Di Air Lanas - sebuah kawasan DUN dibawah Jeli yang turut ditanding oleh Mustapa - kerja menurap dan membaik pulih jalan raya sedang pesat dilakukan.

Keadaan ini mungkin untuk meraih pengundi di Air Lanas yang sememangnya merupakan antara kubu PAS yang paling kebal di Jeli, kata pemerhati politik.

Daripada riak-riak kecil ini, ramai beranggapan bahawa besar kemungkinan Jeli akan jatuh kepada Barisan Nasional.

Menurut salah seorang penduduk, yang enggan namanya disiarkan, mengatakan bahawa di Jeli, PAS hanya akan menang melainkan ada keajaiban dan kalau menangpun dengan undi yang tersangat kecil.

Namun begitu, seorang pekedai yang juga seorang penyokong PAS, Fatimah Husain mempunyai tanggapan sebaliknya.

Beliau masih menaruh keyakinan bahawa PAS akan menang di Jeli berdasarkan senario lalu. Menurutnya, keadaan ini sama seperti dengan 1999 dimana BN menggunakan seluruh kekuatan untuk menggempur PAS tetapi masih kalah kepada parti itu.