Menteri diminta baiki kebocoran lpgan terbang
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha supaya bertindak segera ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang disifatkannya dalam keadaan yang amat menyedihkan.
Dalam sepucuk surat rasmi kepada Kong, Lim berkata kerja-kerja yang tidak sempurna menyebabkan bukan sahaja berlaku kebocoran apabila hujan tetapi juga banjir di terminal yang dibesarkan dengan kos RM250 juta itu.
“Apabila hujan, banjir bukan sahaja berlaku di luar tetapi juga sehingga satu inci di dalam terminal lapangan terbang.
“Saya pasti YB Menteri akan bersetuju bahawa kejadian ini amat memalukan kepada negara kerana air setinggi satu inci telah membanjiri terminal lapangan terbang antarabangsa " kata Lim dalam surat itu.
Menurut beliau, ini menyebabkan gangguan yang sangat besar dan memberikan kesukaran yang tidak terhingga kepada pengguna lapangan terbang bukan sahaja terhadap perjalanan tetapi yang lebih teruk turut merosakkan barangan mereka.
“Oleh kerana lapangan terbang memberikan gambaran yang pertama terhadap mereka yang memasuki Pulau Pinang dan yang lebih penting, Malaysia, saya menggesa YB Menteri untuk campur tangan secara langsung dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Lim juga melampirkan beberapa keping gambar sebagai bukti untuk menjelaskan situasi yang buruk di lapangan terbang itu yang juga telah lewat daripada jadual yang sepatutnya disiapkan itu.
“Jika boleh YB Menteri datang dan melihat sendiri keadaan yang menyedihkan dan memalukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,” katanya lagi.

