Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjelasan berkenaan tindakan kerajaan membelanjakan kos terlalu tinggi semata-mata mendapatkan khidmat konsultan berhubung pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)  yang kini dbatalkan pelaksanaannya.

NONE “Tidak perlu dibebankan peruntukkan kewangan besar untuk mendapat khidmat konsultan kemudiaan dengan kos yang begitu tinggi, kemudian kembali untuk menangguhkannya,” katanya dipetik portal Keadilandaily di Parlimen pagi tadi.

Pada ucapan yang sama, Anwar turut mempertikaikan pendirian tidak tetap kerajaan mengenai pelaksanaan SBPA.

Menurutnya, keputusan melaksanakan SBPA dibuat secara tergopoh gapah sehingga menimbulkan keresahan di kalangan penjawat awam.

“Mengapa kerajaan dari awal tidak memanggil Ceupacs untuk berbincang berhubung pelaksanaan SBPA. Usul awal yang dikemukakan dahulu jelas menunjukkan cadangan ini tidak memahami hasrat pegawai awam di peringkat menengah dan rendah,” katanya.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada 8 Mac lalu mengumumkan SBPA dimanasuhkan dan Skim Saraan Malaysia (SSM) dikembalikan dengan penambahbaikan.

Sebelum ini, SBPA menerima tentangan hebat, khususnya dari Cuepacs yang tidak bersetuju dengan penyelarasan gaji di bawah skim berkenaan dan mahu mahu gaji kumpulan yang menikmati kenaikan tinggi dikurangkan dan disalurkan kepada gred bawahan.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Najib berkata kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan Cuepacs dalam merangka SBPA.

Perdana Menteri memberitahu persidangan Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan telah mengadakan forum perbincangan bersama Cuepacs dan wakil persatuan itu melalui tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) yang bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

"Mesyuarat tidak berkala lain juga diadakan antara pegawai tertinggi kerajaan dengan ahli Majlis Tertinggi Cuepacs. Kerajaan juga menerima memorandum daripada Cuepacs dengan tuntutan tertentu yang telah dikaji dan diambil kira dalam penggubalan SBPA.

"Sepanjang 2011, sebanyak 13 mesyuarat utama bersama Cuepacs diadakan merangkumi mesyuarat dengan MBK, taklimat pada Ahli Majlis Tertinggi Cuepacs dan siri perjumpaan bersama Cuepacs yang membawa kepada termeterainya memorandum persefahaman mengenai pelaksanaan SBPA antara Jabatan Perkhidmatan Awam dan Cuepacs yang ditandatangani pada 28 Dis 2011," katanya pada sesi soal jawab.

Sesi soal jawab kemudian bertukar kecoh apabila Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengemukakan soalan tambahan mengenai status 36 pegawai dalam Kumpulan Primier yang telah menerima ganjaran gaji dan pencen mengikut SBPA sejak 1 Jan lalu.

Menjawab soalan itu, Perdana Menteri berkata: "Nampaknya ahli yang berhormat berkenaan nak jadi juara kepada 36 orang ini. Kerajaan kita nak jadi juara kepada 1.4 juta penjawat awam."

Jawapan itu menyebabkan Mahfuz dan beberapa anggota pembangkang lain termasuk  Ahmad Kasim (PKR-Kuala Kedah) dan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) tidak berpuas hati.

Perang mulut dihentikan apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia masuk campur dan menegaskan mana-mana menteri boleh memilih untuk menjawab atau tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Jumaat lalu, sumber JPA memberitahu Bernama jabatan itu dijadual bermesyuarat minggu ini untuk mencari mekanisme yang bersesuaian bagi menyelesaikan isu penjawat awam dan pesara yang sudah memperoleh bayaran gaji dan pencen mengikut SBPA.

Pada 8 Mac, Najib mengumumkan pembatalan SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik yang menyaksikan penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus berkuatkuasa 1 Jan tahun ini.