Most Read
Most Commented
Read more like this

Barisan Nasional (BN) Perlis yakin mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan berdasarkan kepada sokongan menggalakkan orang ramai terhadap gerakan turun kampung dan kempen dari rumah ke rumah.

Calon BN di Santan, Sabri Ahmad memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya sudah bersedia untuk menawan kembali DUN tersebut daripada tangan PAS.

Dalam pilihanraya umum 1999, calon PAS, Zolkarnain Abidin memenangi DUN Santan dengan memperolehi 2,802 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Datuk Bahari Taib dengan majoriti tipis 269. Bahari mendapat 2,533 undi. Terdapat 7,008 pengundi di kawasan ini, dimana 99 peratus adalah pengundi Melayu.

Dari ini, Sabri mendakwa sehingga 80 peratus pengundi di situ mahu BN menerajui semula DUN Santan.

"Melalui gerakan turun kampung dan kempen dari rumah ke rumah, kami mendapati 80 peratus pengundi di sini memilih BN. Sambutan mereka hebat sekali, semuanya menaruh harapan supaya BN dapat merampas kembali Santan," Katanya.

Berhubung desas-desus mengenai adanya penyokong BN yang tidak berpuas hati dengan pencalonannya di Santan, Sabri menyifatkannya sebagai suatu perkara yang biasa berlaku sewaktu pilihanraya.

Majoriti besar

"Di peringkat awalnya memang wujud sedikit kekecewaan. Tetapi setelah diberi penjelasan bahawa yang lebih penting adalah parti, mereka sudah memahaminya, Kini, masalah itu tidak timbul lagi," tambahnya.

Mengenai ramainya pengundi muda dalam pilihanraya umum kali ini, Sabri berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah berikutan usaha gigih Pemuda dan Puteri Umno menarik undi golongan tersebut.

"Saya amat berkeyakinan bahawa kami akan menang dengan majoriti besar dalam pilihanraya umum kali ini," ujarnya.

Buat masa ini, katanya, jentera pilihanraya BN di situ sedang meningkatkan lagi kempen dari rumah ke rumah.

Pada waktu malam pula, katanya, mereka turut mengadakan ceramah umum bagi menjelaskan kepada pengundi tentang dasar dan manisfesto BN, tambahnya.

ADS