Seandainya Barisan Nasional (BN) tewas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh dalam pilihanraya kali ini, ia adalah berpunca daripada undi protes terhadap calon BN di situ, kata seorang ketua cawangan Umno di Perlis.

Beliau yang tidak mahu namanya disiarkan, tidak menafikan wujudnya keretakan yang serius di kawasan tersebut.

Katanya, ianya berpunca daripada rasa tidak puashati terhadap pemilihan semula calon BN Abu Bakar Ismail untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Abu Bakar akan ditentang oleh naib yang dipertua PAS Arau, Bakar Ali. Dalam pilihanraya umum lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti selesa 1,663 undi.

Menurut ketua cawangan itu lagi, masalah yang sama juga berlaku di Parliman Arau, DUN Simpang Empat dan Tambun Tulang.

"Kalau BN kalah, ianya adalah kerana undi protes...," katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Sementara itu, kalangan pengundi Cina di sekitar kawasan Pauh juga dikatakan tidak selesa dengan pemilihan Abu Bakar untuk mempertahan kerusi DUN tersebut kerana mendakwa beliau tidak mengambil berat pembangunan di situ.

Kesetiaan

Pengerusi MCA Pauh, Yong Peng Ju, 62, ketika dihubungi malaysiakini mengakui memang wujud rasa tidak puas hati tersebut di kalangan masyarakat Cina di situ.

Hampir 20 peratus pengundi di DUN Pauh adalah terdiri daripada masyarakat Cina di sekitar kawasan Pekan Pauh dan Kampung Baru Pauh. Manakala kira-kira 6 peratus lagi adalah pengundi dari masyarakat India.

Terdapat seramai 7,604 pengundi di DUN Pauh dengan 75 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu.

Ditanya mengenai persepsi pengundi Melayu, khususnya Umno di situ, Peng Ju berkata: "Orang Melayu juga ramai yang tak suka, terutama orang muda."

Bagaimanapun, beliau percaya, demi kesetiaan kepada parti, mereka tetapi mengundi calon BN.

Setakat ini, katanya, MCA akan akur kepada setiap keputusan parti dan tidak berminat untuk menambah kerusi MCA dalam pilihanraya akan datang.

Dalam pilihanraya umum kali ini, MCA meletakkan calon mereka di DUN Titi Tinggi (Parlimen Padang Besar) dan Indera Kayangan (Parlimen Kangar).