Kelemahan dan masalah pengurusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) khususnya di Selangor mengakibatkan gangguan kepada proses pengundian dan menyebabkan ada pengundi yang pulang marah-marah.

Para pengundi yang menjadi mangsa masalah pengurusan SPR rata-ratanya kecewa dan tidak berpuas hati, hingga ada yang terang-terang mengugut enggan mengundi.

Menurut laporan Bernama , antara masalah utama yang dihadapi pengundi ialah nama yang disemak di Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak sama dengan senarai SPR di pusat pengundian.

Selain itu, ada nama pengundi tidak tersenarai langsung di pusat pengundian sedangkan SMS SPR mengesahkan nama mereka ada.

Ada juga yang menghadapi masalah di mana nombor siri dalam senarai induk SPR di pusat pengundian sebagai rujukan nama pemilih, tidak sama dengan nama/nombor siri di saluran mengundi yang ditetapkan.

Contohnya di Pandan, Selangor, Ketua Pemuda MCA Datuk Ong Tee Keat yang juga calon BN parlimen Pandan mencadangkan proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah ditangguhkan dua jam bagi membolehkan SPR membaik pulih sistem pengurusan mereka.

Katanya SPR memerlukan masa untuk menyemak semula nama pengundi yang tidak ada di pusat mengundi yang mengandungi 11 saluran mengundi.

"Kasihan kepada pengundi, berhentilah dahulu. Selaraskan dulu dan buat pembetulan yang sewajarnya," katanya kepada pegawai SPR.

Ketua ejen pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah bagi BN, Zulaikha Iskandar berkata masalah itu menyebabkan tidak sampai 50 orang keluar mengundi pada awal pagi di situ.

Marah

Beliau berkata daftar pengundi yang disemak di barung dan di tempat undi didapati tidak sama.

"Saya mencadangkan supaya pilihan raya diadakan sekali lagi. Bagi yang datang dari pagi tadi telah pulang dalam keadaan marah. Kelemahan SPR dalam menyemak semula menyebabkan pengundi tidak dapat hak sebenar mereka untuk mengundi. Jika undi pun dalam keadaan marah dan tertekan," kata Zulaikha.

Di Selayang , berlaku sedikit kekecohan di Sekolah Kebangsaan Selayang Baru apabila pengundi tidak dapat mengesahkan nama mereka kerana komputer SPR tidak boleh digunakan.

Manakala di Rembau , Negeri Sembilan, seorang wanita yang baru selesai mengundi tiba-tiba mengadu sesak nafas dan terus berbaring di luar pusat mengundi menyebabkan suasana gempar seketika.

Keadaan wanita itu menarik perhatian ramai pengundi lain dan pegawai SPR di pusat pengundian itu, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Rantau.

Para wartawan dan jurugambar yang berada di pusat berkenaan untuk membuat liputan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Datuk Mohamad Hassan, turut membantu mangsa, Bainun Taat, berusia 76 tahun.

Bainun, dari Kampung Tanjung, Rantau datang ke pusat mengundi itu bersama anak-anaknya pada pukul 9 pagi dan selesai mengundi setengah jam kemudian.

Beliau dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Seremban kira-kira jam 10 pagi. Keadaannya dilaporkan stabil.

Sementara itu Mohamad, 47, tiba di sekolah berkenaan kira-kira pukul 10.15 pagi, beratur bersama pengundi yang lain dan selesai menunaikan hak mengundi jam 10.50 pagi.

Putus bekalan

Di Pulau Pinang, proses pengundian di pusat mengundi SRJK (C) Kong Min Cawangan 2, Jalan Paya Terubong bagi Parlimen Bukit Gelugor , terganggu selama 15 minit apabila bekalan elektrik terputus.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai yang datang untuk mengundi terpaksa menunggu lama untuk menyemak senarai nama berikutan sistem komputer tidak dapat digunakan dan petugas terpaksa menyemak nama secara manual.

Tujuh komputer digunakan untuk proses menyemak daftar pengundi di pusat itu.

Pusat itu yang menempatkan 108 petugas pilihanraya, mempunyai 16 saluran serta 9,720 pengundi dari tiga kawasan di Paya Terubong iaitu Mukim 13, Mukim 14 dan Taman Paya Terubong.

Gangguan bekalan elektrik itu dipercayai berpunca daripada lebihan beban pada waktu itu.