Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gaji amah: Pelbagai pihak mahu k'jaan tak tunduk

Pelbagai pihak berpendapat  kenyataan Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usma, bahawa, gaji minimum RM700 bagi pembantu rumah mesti dibayar untuk satu tugas khusus, sama ada sebagai tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah sebagai tidak munasabah.

NONE Bagi PKR, peraturan baru berkenaan gaji minimum pembantu rumah Indonesia itu perlu dikaji semula bagi memastikan rakyat, khususnya golongan muda berpendapatan sederhana, tidak terus tertindas dengan peraturan seumpama itu.

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kadar gaji itu yang telah dipersetujui hasil pertemuan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia dilihat sebagai tidak munasabah kerana kadar RM700 untuk satu tugasan spesifik sebagaimana diumumkan, jelas tidak berkadaran dengan pendapatan isi rumah, khususnya golongan muda yang berpendapatan sederhana.

"Dengan kos sara hidup semakin tinggi mendesak suami dan isteri keluar bekerja bagi menjamin pendapatan isi rumah.

Sehubungan itu, khidmat pembantu rumah ini seakan menjadi satu keperluan khususnya bagi golongan muda berpendapatan sederhana," katanya.

Menurut Shamsul Iskandar, keraguan timbul apabila Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia tidak mengambil kira maklumat-maklumat asas mengenai pendapatan isi rumah majoriti masyarakat di Malaysia dan bandar-bandar utama seluruh negara.

indonesian maid domestic workers Dakwanya, PKR melihat ini berpotensi berlaku atas kegagalan kerajaan untuk melihat isu dan permasalahan sebenar sehingga membawa kepada konotasi salah dalam perundingan dengan kerajaan Indonesia.

"Sehubungan itu, PKR melihat wujudnya keperluan untuk mendesak supaya kerajaan memperincikan semula butiran perbincangan dengan kerajaan Indonesia serta mendesak kerajaan supaya mengkaji semula peraturan baru ini," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga menyifatkan kenyataan Dr Reyna itu sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Katanya, Malaysia tidak akan berganjak daripada ketetapan yang sudah dipersetujui dengan Indonesia berhubung penghantaran semula amah dari republik itu ke negara ini yang dijadualkan bermula bulan depan.

NONE “Kita harap pihak Indonesia akan kembali kepada semangat persefahaman yang telah dimeterai antara saya dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono.

"Semua syarat telah dibincangkan dan kedua-dua menteri berpuas hati dengan persefahaman yang telah dicapai dan tidak ada apa pun dibangkitkan pada waktu itu," katanya

Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia pula memetik Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman sebagai berkata, kerajaan juga harus beralih pada sumber dari negara lain bagi memenuhi keperluan pembantu rumah selain Indonesia.

"Mereka yang memerlukan kerja di sini, jadi kenapa kita pula yang mahu tunduk pada kemahuan itu? Gaji ditetapkan juga amat tidak logik iaitu hanya untuk melakukan satu kerja," katanya.

ADS