SPR yakin lebih 80 peratus keluar mengundi
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yakin 80 peratus daripada 10.2 juta pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya umum kali ini.
Ketika menyatakan keyakinan itu, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman percaya cuaca yang diramalkan baik sepanjang hari ini akan mendorong lebih ramai pemilih keluar mengundi kali ini.
Menurut Bernama , sejak jam 8 pagi tadi, ribuan pengundi telah membanjiri 7,300 pusat pembuangan undi di seluruh negara.
Sejumlah 202 kerusi Parlimen dan 493 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam pilihanraya umum kali ini. Selepas hari penamaan calon pada 13 Mac lalu, BN telah memenangi 17 kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN tanpa bertanding.
Sehingga jam 1 tengah hari ini, kira-kira 60 peratus keluar mengundi di Kedah yang menyaksikan persaingan hebat di antara PAS dan Barisan Nasional (BN).
SPR menjangka lebih daripada 80 peratus daripada sejumlah 821,901 pengundi di negeri itu akan menunaikan tanggungjawab mereka apabila pengundian ditutup pada jam 5 petang ini.
Dalam pilihanraya umum 1999, PAS berjaya memenangi 12 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah .
Kakitangan kerajaan
Manakala di Kelantan, hampir 40 peratus daripada 662,722 pemilih telah keluar mengundi sehingga tengah hari tadi.
Menurut pegawai SPR Kelantan, Mohamad Yunus sebahagian besar yang keluar mengundi sehingga ini terdiri daripada golongan wanita.
Ini kerana hari Ahad merupakan hari bekerja di Kelantan, dan oleh itu, kakitangan kerajaan dan swasta dijangka keluar mengundi di sebelah petang.
Dalam pilihanraya umum lalu, PAS memenangi 41 daripada 45 kerusi DUN, selepas merampasnya daripada Barisan Nasional pada pilihanraya umum 1999.
PAS juga memenangi 10 daripada 14 kerusi Parlimen, manakala rakannya dalam Barisan Alternatif (BA), Keadilan menang tiga kerusi lagi, dan Umno satu kerusi Parlimen.
Di Terengganu, kira-kira 35 peratus daripada 455,924 pemilih keluar mengundi pada jam 11 pagi tadi. Sepertimana Kelantan, hari ini juga merupakan hari bekerja di Terengganu.
Pada tahun 1999, PAS menang 28 daripada 32 kerusi DUN manakala yang lainnya dimenangi oleh Umno. PAS dan Keadilan juga berjaya menyapu bersih ke semua lapan kerusi Parlimen di negeri itu.
Sementara itu di Pahang di mana persaingan PAS-Umno dijangka hebat, lebih 20 peratus daripada 570,126 pemilih keluar mengundi sehingga tengah hari tadi.
Dalam pilihanraya umum lalu, Umno memenangi 21 kerusi DUN, PAS (6) dan Keadilan (1). Yang lainnya dimenangi oleh anggota komponen BN. Bagaimanapun, pembangkang gagal memenangi sebarang memenangi sebarang kerusi Parlimen di negeri itu.
For more news and views that matter, subscribe and support independent media for only RM0.36 sen a day:
Subscribe now