Sertai BERSIH, bantah AUKU: Pinjaman 6 pelajar ditarik

   

Kerajaan Terengganu telah menarik balik pemberian pinjaman kepada enam anak negeri yang belajar di Mesir selepas didapati terlibat dalam perhimpunan di ibu negara tahun lalu.

kuala terengganu by election ahmad said visit media centre 080109 03 Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, tindakan itu diambil selepas kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan penjelasan pelajar terbabit ketika menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kerajaan Terengganu.

"Kita biayai mereka untuk pergi belajar, bukannya untuk terlibat dengan demonstrasi atau perkara yang tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan e-Book di kuala Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pelajar berkenaan didapati terlibat dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu dan perhimpunan membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) awal tahun ini.

"Kerajaan negeri berharap tindakan ini akan menjadi pengajaran kepada yang lain agar tidak terbabit dengan kegiatan tidak sepatutnya," kata Ahmad.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua pelajar terbabit termasuk seorang penuntut tahun tiga jurusan perubatan boleh membuat rayuan kepada kerajaan negeri.

"...kita lihatlah nanti," katanya.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda