Walaupun bukunya sering menjadi mangsa pengharaman oleh kerajaan, kartunis terkenal Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar terus menerbitkan karya terbaru yang mengusik perjalanan politik negara.
Beliau tampil lagi dengan
1Moolaysia
yang antaranya memuatkan jenaka tentang isu National Feedlot Corporation yang diusahakan oleh keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil.
"Dan saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk tidak berdiam diri sebaliknya melakukan yang termampu dalam membongkar pekung dan kezaliman penguasa rakus.
"Paling kurang yang dapat anda lakukan ialah dengan cara berjenaka. Jika anda tidak mampu lawan mereka, ketawakan mereka!" katanya.
Selain terus mengusik isteri perdana menteri Rosmah Mansor - subjek yang digemarinya - Zunar juga menyentuh pelbagai isu semasa yang menurutnya "gagal" menjadi tema kartunis politik di Malaysia.
Isu-isu itu antaranya berkaitan tindakan imam kontroversi Hoslan Hussein yang membaling kasut ke arah panel hakim, isu dakwaan Rosmah suka membeli-belah dan demonstrasi BERSIH 2.0.
Selain kartun-kartun terbaru,
1Moolaysia
turut memuatkan karya-karyanya yang termuat dalam
Malaysiakini
dan laman antarabangsa
Cartoonmovement
.
Buku kelima Zunar ini akan dilancarkan oleh anggota parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada 25 Mac di sebuah kompleks membeli belah di Petaling Jaya.
Ia boleh dibeli secara langsung hari tersebut selain tempahan melalui laman webnya dan kedai buku dalam talian Kinibooks .
