Akibat tersalah baca, seorang anggota Parlimen pembangkang hari ini telah membuatkan Datuk Tajuddin Abdul Rahman hilang sabar apabila tersilap menyebut nama sebuah agensi kerajaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan syarikat yang mengeksport minyak kelapa sawit ke Israel, lapor Bernama.

    

Er Teck Hwa (DAP-Bakri) ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja telah tersalah menyebut Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) sebagai mempunyai kaitan dengan dua buah syarikat yang dikatakan mengeksport minyak kelapa sawit ke Israel, sedangkan dakwaan itu mahu ditujukan kepada Felda.

    

NONE Dakwaan itu menyebabkan Tajuddin (BN-Pasir Salak) yang merupakan Pengerusi Felcra 'melenting' dan mencabar ER membuat kenyataan itu di luar dewan serta mendesak beliau menarik balik kenyataannya itu yang disifatkan sebagai "fitnah tidak berasas".

    

"Dakwaan yang mengatakan Felcra ada saham dalam kilang yang mengeksport minyak sawit ke Israel itu tidak betul sama sekali...saya mahu dakwaan itu ditarik balik. Kecuali anda tarik balik, saya akan berdiri di sini sehingga pagi esok," tegas Tajuddin.

    

Er dalam ucapannya sebelum itu menyebut 'Felcra' merupakan antara pemegang saham terbesar dalam dua buah syarikat yang dikatakan mempunyai kilang di Johor dan mengeksport komoditi negara itu ke negara rejim zionis berkenaan.

"Dua dokumen 'booking confirmation' melibatkan dua syarikat berpangkalan di Johor telah didapati menghantar minyak sawit dari Pasir Gudang dan Tanjung Pelepas terus ke Ashdod iaitu pelabuhan terbesar Israel yang terletak 40km dari Tel Aviv," dakwa Er.

    

NONE Kesilapan Er diulangi Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah perbahasan Er:"Adakah Yang Berhormat hendak kata sebenarnya 'Felcra' ada share dalam kilang yang hasilkan minyak sawit yang kemudiannya dihantar ke Israel? Jadi secara tidak langsung 'Felcra' ada share membantu Israel yang menekan Palestin..."

    

Isu itu menyebabkan persidangan dewan terus tegang apabila beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) mula bangun mempertikaikan kenyataan wakil pembangkang itu manakala  Tajuddin berterusan berdiri untuk menggesa kenyataan itu ditarik balik.

    

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(12) untuk merujuk kedua-dua wakil pembangkang itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan dewan.

    

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun berkata, beliau tidak berhasrat untuk membuat keputusan sebegitu tetapi menasihatkan anggota Parlimen supaya berwaspada mengenai intipati ucapan dan mengelak daripada mengandungi perkara-perkara yang tidak betul atau mempunyai konotasi agenda politik.

    

parliament pandikar amin anwar ibrahim lim kit siang dap pkr pc 121108 07 Kemarahan Tajuddin berterusan sehingga sesi petang apabila beliau terus berdegil mahu Er menarik balik kenyataannya walaupun sebelum itu wakil DAP itu telah membuat pembetulan dan mengakui kenyataan itu dituju kepada 'Felda' dan bukannya 'Felcra'.

    

Merujuk isu itu, Pandikar Amin kemudiannya memutuskan untuk memberi ruang kepada Er dan Mahfuz untuk menarik balik kenyataan mereka dan kepada menteri bagi menjawab dakwaan yang dibangkitkan.

    

Sekiranya kedua-dua wakil pembangkang itu masih berkeras dengan kenyataan itu, mereka boleh dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan sekiranya penjelasan menteri membuktikan dakwaan yang dikemukakan itu salah.

- Bernama