Najib: Pemergian satu kehilangan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pemergian allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan.
Beliau berkata jasa dan sumbangan allahyarham akan sentiasa dikenang oleh kerajaan dan rakyat.
"Minat Allahyarham dalam bidang penulisan (terlalu mendalam) saya difahamkan dalam saat-saat akhir beliau masih menulis.
"Ini menunjukkan semangat beliau untuk menulis dan membuat karya tidak pernah padam walaupun dalam masa persaraan," katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah allahyarham Mazlan di rumah anak perempuannya di Seksyen 16 di sini malam ini.
Najib, yang berbaju Melayu krim, tiba pada 11.55 malam.
"Allahyarham merupakan seorang tokoh dalam zaman ayahanda saya, bagi pihak diri saya, ia merupakan satu kehilangan peribadi," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan Malaysia.
"Allahyarham merupakan salah seorang tokoh kewartawanan yang sangat-sangat dihormati, bukan sahaja dalam kalangan wartawan tapi juga dalam kalangan masyarakat kerana penulisan beliau yang tajam dan tepat," katanya.
Mazlan, 86, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 4.15 petang.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira 10 pagi esok.
- Bernama

