Seorang anggota polis trafik maut dirempuh sebuah bas pesiaran Singapura ketika sedang mengawal lalu lintas di persimpangan masuk bas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), malam tadi.

Koperal Ismayudin Ramli, 50, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata ketika kejadian pada jam 11.55 malam itu, anggota trafik berkenaan sedang menjalankan tugas kira-kira 200 meter dari laluan masuk bas dari Singapura ke Johor Baharu di kompleks CIQ itu bersama seorang lagi rakannya.

"Bas yang bernombor pendaftaran Singapura itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori, sebuah kereta dan penghadang jalan sebelum merempuh anggota kita," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga anggota polis itu di rumah mentuanya di Felda Taib Andak Kulai di Johor Baharu hari ini.

Difahamkan selepas kejadian, bas yang dipandu wanita warga tempatan berumur 49 tahun itu cuba melarikan diri, tetapi ditahan 150 meter dari tempat kejadian.

- Bernama