Kerajaan persekutuan disaran melantik pegawai audit untuk mengawasi urusan kewangan kerajaan PAS Terengganu dan bukannya menyekat wang royalti minyak dengan dakwaan ia mungkin disalahgunakan.

"Kerajaan pusat ada kuasa di bawah Perkara 95 Perlembagaan Persekutuan mentauliahkan pegawainya untuk memeriksa kira-kira kerajaan," kata Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Tun Mohd Salleh Abas, menolak alasan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri bulan lalu.

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pernah dilaporkan berkata wang ehsan disalurkan bagi menggantikan pembayaran royalti untuk mengelak kerajaan PAS menyalahgunakan wang tersebut.

Mohd Salleh mempertikaikan tuduhan itu dan kesal langkah kerajaan pusat itu.

"Tetapi kerajaan pusat tidak berbuat demikian (menghantar pegawai audit). Ia terus menuduh kerajaan negeri menyalahgunakan wang tersebut. Dari itu amat jelas bahawa tuduhan itu tidak berasas sama sekali," katanya.

Bekas Ketua Hakim Negara itu sebaliknya mendakwa kerajaan negeri Barisan Nasional sebelum ini gagal mengurus wang dengan baik.

"Wang itu dibelanjakan dengan seboros-borosnya, seolah-olah petroleum akan berkekalan," katanya, sambil mempertikaikan jumlah RM700 hutang negeri itu kepada kerajaan pusat walau menerima wang royalti sebanyak RM7 bilion sejak 1978.

Exco yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal hisbah itu seterusnya mendakwa, sebahagian besar wang itu dibelanjakan oleh kerajaan BN sebelum ini untuk membina bangunan kerajaan yang besar-besar dan tidak diperlukan, serta pelaburan dalam syarikat yang bermasalah dan tidak menguntungkan.

Antaranya, Mohd Salleh menyebutkan sejumlah RM670 juta disalurkan untuk menampung syarikat besi keluli Perwaja yang mengalami kerugian RM3.5 bilion.

Selain itu, kerajaan Terengganu juga menanggung kerugian lebih kurang RM453.6 juta dalam pelaburan dan bantuan kepada sebuah lagi syarikat keluli, Gunawan Iron dan Steel, yang kini sudah tidak beroperasi.

"Program semacam inikah yang menjadikan rakyat Terengganu terbela dan terhenti daripada kemiskinan," kata Mohd Salleh lagi, dalam satu sesi-soal jawab dengan malaysiakini .

'Saya tidak faham!'

Menurut kajian pakar ekonomi, Terengganu adalah negeri kedua tertinggi pendapatan per kapita, RM 19,880 selepas Wilayah Persekutuan (RM 25,100). Tetapi negeri juga menduduki tempat kedua tertinggi dari segi kadar kemiskinan (17.3 peratus). Tahap kemiskinan ialah penduduk yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM400 sebulan bagi setiap keluarga.

Wakil rakyat Jertih itu juga mempertikaikan kebijaksanaan kerajaan BN ketika mengendalikan bekalan air di destinasi pelancongan Pulau Redang yang menaikkan lagi harga kontrak sebanyak RM20 juta kepada RM46 juta.

Jumlah penambahan itu akibat bayaran sagu hati (ex-gratia) sebanyak RM9 juta yang tidak diperlukan dan bayaran akibat perintah mengubah (VO) sebanyak RM11 juta.

Beliau turut mempertikaikan langkah kerajaan negeri sebelum ini yang menubuhkan Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAW) pada 1990 yang menerima 15 peratus atau maksimun RM30 juta daripada royalti petroleum.

"Bagaimana tabung ini dibenarkan oleh undang-undang untuk diniagakan dan melabur dalam perniagaan yang penuh risiko? Saya tidak faham!" katanya lagi.

Menurutnya lagi, pada tahun 1997, negeri itu mewujudkan Tabung Pendidikan yang menggunakan 10 peratus daripada TAW dan wang terkumpul sebanyak RM10 juta.

Mohd salleh mempertikaikan bagaimana tabung itu digunakan untuk membeli pesawat terpakai jenis 'Piper Chyne' dengan harga RM6.9 juta, sedangkan ia boleh dibeli dengan harga lebih kurang RM800,000

"Apakah justifikasi membeli pesawat buruk itu?" tanyanya lagi.