Nik Aziz lancar mogok' terhadap media
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan "mogok" terhadap media dan pemberita sebagai membantah apa yang didakwanya laporan berat sebelah media terhadap PAS sewaktu keputusan pilihanraya umum baru lalu.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan "mogok" terhadap media dan pemberita sebagai membantah apa yang didakwanya laporan berat sebelah media terhadap PAS sewaktu keputusan pilihanraya umum baru lalu.
Mursyidul Am PAS itu berkata beliau hanya akan memberikan kenyataan kepada media selepas hatinya sejuk.
"Sementara hati saya tak sejuk lagi saya tak mahu (beri kenyataan kepada media)," katanya kepada pemberita yang menunggunya di kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10 di Kota Bharu hari ini.
Menurut Bernama , pemberita berkenaan bertumpu ke kediaman Menteri Besar selepas dimaklumkan bahawa Nik Aziz ingin memberikan kenyataan berkaitan pilihanraya berkenaan
Dengan nada yang kesal, Nik Aziz berkata persaingan sihat sesama manusia dalam apa bentuk sekalipun dibenarkan dalam Islam, asalkan untuk mencari kebaikan.
"Dalam pilihanraya Ahad lalu, pemimpin PAS ditutup mulut manakala telinga rakyat disumbat kerana (BN) bimbang dan takut keadaan sebenar diketahui," katanya sambil menyifatkan keadaan tersebut sebagai satu malapetaka besar kepada manusia.
Nik Aziz berkata beliau bertindak sedemikian, antaranya kerana kecewa dengan laporan televisyen pada malam hari keputusan pengundian yang menghebahkan bahawa Barisan Nasional (BN) telah menang di Kelantan.
Kepung Kota Darulnaim
"Laporan berita itu oleh juruhebah TV yang diambil dari wartawan menyebabkan malam tu kena kepung Kota Darulnaim (pusat pentadbiran negeri Kelantan) tak pasal-pasal kerana apa, kerana salah pemberita (beri laporan palsu)," katanya.
Terdahulu, Nik Aziz dalam kuliah mingguan Jumaat di pejabat PAS negeri di Kota Bharu, berkata hasrat BN untuk menghapuskan barisan pembangkang dalam pilihanraya umum kali ini gagal apabila pembangkang mampu menguasai 21 kerusi Parlimen.
Katanya, walaupun PAS hanya menang tujuh kerusi Parlimen tetapi parti pembangkang lain seperti DAP terus mendapat kepercayaan rakyat.
"Ini semua kerja Allah dan manusia tidak boleh mengatasinya," katanya.
Dalam pilihanraya umum kali ini, selain PAS, DAP menang 12 kerusi Parlimen manakala Parti Keadilan Rakyat dan calon Bebas masing-masing satu.
Bagaimanapun, kerusi Parlimen PAS itu merosot daripada 27 kerusi yang dimenangi pada 1999, kebanyakannya di Kelantan dan Terengganu hingga mengetuai pembangkang di Dewan Rakyat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.