Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tak terjejas, eksport sawit Felda ke Iran hanya RM1j
Diterbitkan:  Mar 26, 2012 5:24 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Hasil eksport minyak sawit Felda tidak akan terjejas sama sekali sekiranya kerajaan menghentikan urusan dagangan minyak mentah dengan Iran, kata Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad.

Beliau berkata ini kerana nilai eksport minyak sawit Felda ke Iran hanya bernilai RM1 juta setahun dan Iran bukanlah negara eksport utama minyak sawit keluaran Felda.

   

"Masih ada banyak negara lain yang ingin berurusan dengan kita seperti India manakala pelanggan utama eksport minyak sawit Felda adalah China," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sihat Felda di Balai Felda di ibu negara, hari ini.

   

Program Sihat Felda yang julung kali diadakan itu bertujuan memupuk kesedaran berhubung kepentingan menjaga kesihatan khususnya untuk keluarga dan kakitangan Felda.

   

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah kerajaan untuk menghentikan pengimportan minyak mentah dari Iran sama sekali tidak akan memberi implikasi tidak baik terhadap bekalan minyak negara.

   

Mustapa berkata walaupun kedua-dua negara merupakan rakan dagang komoditi seperti minyak mentah dan minyak sawit, namun langkah pemberhentian pengimportan minyak mentah dari Iran itu boleh ditampung dari negara lain.

   

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa Malaysia akan menghentikan pengimportan minyak mentah Iran mulai April iaitu dua bulan sebelum sekatan Amerika Syarikat berkuatkuasa.

   

Mengenai isu penyenaraian Felda Global Venture Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia menjelang pertengahan tahun ini, Mohd Isa berkata penyenaraian itu tetap akan dilakukan meskipun tidak melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan Felda Holdings Berhad (FHB).

   

"Kita akan tunggu keputusan injuksi dari Mahkamah Tinggi Kuantan 2 April ini dan lihat kaedah yang bagaimana akan kita ambil dan lakukan bagi memastikan penyenaraian tetap berlaku," katanya.

   

Beliau berkata sebarang mekanisme yang akan diambil oleh Felda diteliti terlebih dahulu bagi memastikan hak golongan peneroka terjamin.

     

- Bernama

ADS