Menteri Besar Selangor, Tan Sri  Khalid Ibrahim hari ini menjelaskan bahawa bekas exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Ali membelanjakan RM300,000 bukan untuk pengubahsuaian pejabatnya tetapi untuk pejabat baru.

Oleh itu ia tidak bertentangan dengan arahan terdahulu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melarang pemegang jawatan mengubahsuai pejabat mereka, katanya.

khalid ibrahim and selangor state Bercakap kepada media di Shah Alam, Khalid berkata isunya adalah sama ada mengubahsuai bilik atau membina sebuah pejabat baru.

Menurutnya, Hasan membina pejabat baru yang terletak di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan jabatan tersebut perlu mengikut prosedur yang betul.

MB sebelum ini telah menjelaskan bahawa perbelanjaan Hasan, yang telah dikritik minggu lalu sebagai "membazir", telah dilakukan mengikut prosedur Perbendaharaan negeri.

Hari ini, Khalid sekali lagi menegaskan bahawa perbelanjaan Hasan adalah "biasa".

Menurutnya, Hasan telah mengubahsuai pejabat lamanya yang menelan belanja RM2,000.

Tambahnya, apabila Hasan membina sebuah pejabat baru, maka ia perkara biasa bagi kosnya berjumlah sedemikian (RM300,000).

Bagi pejabatnya sendiri, Khalid berkata beliau bernasib baik kerana ia masih dalam keadaan yang sangat baik dan tidak memerlukan apa-apa pengubahsuaian.

Dua hari selepas pilihan raya umum lalu, Anwar, yang juga ketua pembangkang, mengumumkan bahawa semua menteri besar dan exco kerajaan negeri daripada PKR, dilarang mengubahsuai pejabat mereka dan membeli kereta rasmi baru, bagi menunjukkan budaya baru politik.

ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebelum ini mendakwa Hasan telah membazir ratusan ribuan ringgit ketika menjadi exco kerajaan negeri bagi portfolio hal ehwal agama Islam, adat istiadat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam negeri.

Antara lain, Hassan didakwa telah membelanjakan RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya.

Bagaimanapun, Hasan hari ini menegaskan bahawa kos tersebut adalah munasabah kerana pejabat tersebut menampung 19 kakitangan lain daripada Skim Mikro Kredit.

Hasan juga mendakwa dua lagi exco kerajaan negeri - Dr Xavier Jeyakumar dan Dr Halimah Ali - turut berbelanja besar mengubahsuai pejabat mereka, berbanding dengan beliau, tetapi kedua-duanya telah menafikannya.

[Berita penuh]