Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa terdapat kes rasuah yang telah disiasat tetapi tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat peguam negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, ia berpunca kerana apabila sesuatu kes di bawa ke mahkamah, bukti yang dikemukakan tidak mencukupi.

"Tujuan SPRM ditubuhkan adalah untuk ambil tindakan terhadap orang yang lakukan rasuah. Kita tak boleh tangkap berdasarkan sentimen.

"Banyak kes yang disiasat tetapi tidak didakwa... Tak bermaksud tiada kes. Ada kes. Tapi bila (hendak) bawa ke mahkamah, mereka (pejabat peguam negara) kata tak cukup bukti. Masyarakat kena faham.

"Tak timbul isu kita tak ambil tindakan terhadap 'ikan besar' atau tidak. Kita buat kerja siang malam. Kes rasuah rumit. Bukan mudah untuk dapat kerjasama orang ramai kerana tiada siapa yang nak bercakap," katanya pada wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Mohd Shukri juga berkata, kes rasuah berbeza dengan jenayah lain kerana ia melibatkan kawan rapat, rakan parti dan ahli keluarga yang tidak akan 'buka mulut'.

"Mereka tak kan bercakap. Siapa yang nak datang bercakap bila kita tanya? Kita tak ada kuasa untuk dakwa orang," katanya.

Rafizi rela kerja separuh masa dengan SPRM

Sementara itu itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli pula mencadangkan agar peguam negara ditukar bagi memudahkan siasatan dilakukan oleh SPRM.

Menurut Rafizi, negara memerlukan seorang peguam negara yang jujur serta bekerjasama dengan SPRM agar setiap kes boleh dihadapkan ke mahkamah.

"Kalau saya jadi perdana menteri... Tapi saya tak jadi lagi... Tanpa ubah perlembagaan, kita boleh tolong pegawai SPRM dengan (cara) menukar peguam negara. Peguam negara yang ada sekarang mempunyai rekod buruk, terkenal dengan menerapkan 20, 30 fail.

"Kita perlu cari peguam negara yang jujur yang akan bekerjasama dengan SPRM supaya, tidak kisah Pakatan Rakyat ke, BN atau pensyarah, kalau dia rasuah, akan dihadapkan ke mahkamah," katanya.

Rafizi bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Mohd Shukri mengenai saksi yang sukar 'buka mulut' kerana masyarakat kini sudah berubah dan berani untuk membongkar sesuatu kes.

Merujuk kepada isu Pusat Fedlot Nasional, Rafizi berkata, hampir kesemua maklumat dan dokumen diberi oleh orang ramai.

"Masyarakat dah berubah. Sekarang ni kami sampai tak cukup tangan nak siasat. Maklumat, dokumen orang bagi tiap-tiap hari. Masyarakat kita telah ke depan kerana mereka yang rasa bahana dan jahanamnya gejala rasuah ini.

"Saya jika diberi peluang, rela kerja separuh masa dengan SPRM kalau diberi jaminan untuk menyiasat menteri yang berprofil tinggi ini," katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini