Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kesal dengan kejadian pergaduhan yang dilaporkan membabitkan sekumpulan peserta Program Khidmat Negara (PKN) di kem Kuala Berang, Terengganu.

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chiew Daily , melaporkan hari ini, bahawa berita pergaduhan itu yang dikatakan membabitkan peserta Melayu dan Cina, menyebabkan ibu bapa berkumpul di luar kem tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Najib menegaskan, salah satu tujuan kerajaan memperkenalkan PKN adalah untuk memupuk semangat perpaduan.

Oleh itu, katanya, semua peserta bergaul dan tinggal bersamadalam satu khemah.

Ditanya lanjut mengenai kejadian pergaduhan itu yang dilaporkan membabitkan sekumpulan peserta Cina dengan peserta Melayu, Najib berkata, beliau masih lagi menunggu laporan dari pusat latihan tersebut.

Menurut beliau lagi, tujuan PKN diperkenalkan tiada berkaitan dengan isu politik, tetapi ia merupakan satu program yang baik ke arah memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

Ditanya mengenai kebimbangan para ibu bapa berikutan kejadian tersebut, Najib menegaskan bahawa pelaksanaan latihan bagi peringkat pertama berjalan dengan lancar.

Pengsan

Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa menunggu laporan daripada kesemua kem latihan PKN sebelum dapat mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, polis berkata, sehingga ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan aduan mengenai berlakunya pergaduhan di kem PKN di Terengganu itu.

Dalam satu sidang akhbar semalam, pengerusi DAP Lim Kit Siang, yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur dan ahli Parlimen DAP bagi Batu Gajah, Fong Po Kuan, mendakwa berlaku pergaduhan di antara peserta Melayu dan Cina di kem berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurut mereka, dalam kejadian itu beberapa peserta turut pengsan.

Sementara itu di Kuala Berang, Bernama melaporkan, seorang pegawai PKN di kem berkenaan menafikan berlakunya pergaduhan di kem tersebut.

Menurutnya, apa yang sebenarnya berlaku ialah salah faham selepas dua pelatih wanita yang sedang menonton wayang di serang histeria.

Keadaan kecoh sedikit apabila seorang pelatih lelaki tiba-tiba "mengamuk" dengan menghempaskan kerusi tetapi dia dapat ditenangkan oleh beberapa jurulatih, katanya.

Bagaimanapun, katanya, sewaktu usaha menenangkan pelatih itu dilakukan, beberapa pelatih lain mengerumuni tempat itu dan keadaan itu mungkin telah menimbulkan salah tanggapan di kalangan pelatih lain.