Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi buat tuntutan balas terhadap Shahrizat
Diterbitkan:  Mar 30, 2012 7:41 AM
Dikemaskini: 7:43 AM

Pengarah strategi PKR Mohd Rafizi Ramli membuat tuntutan balas terhadap saman RM100 juta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

    

Mohd Rafizi mengemukakan tuntutan balasnya itu pada 8 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan mendakwa Shahrizat melancarkan serangan peribadi dan berdendam terhadapnya semasa berucap di perhimpunan Agung Wanita Umno pada 30 November tahun lepas.

    

Pihak yang menuntut mendakwa bahawa kata-kata Shahrizat itu telah diterbitkan semula dalam lamanweb, media cetak dan 'online' yang membawa maksud Mohd Rafizi tidak jujur, tidak setia, penderhaka dan pengkhianat kepada bangsa dan agama.

    

Antara yang dituntut Mohd Rafizi ialah gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan.

    

Sementara itu, Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera yang mendengar tuntutan itu hari ini, menetapkan 12 April untuk pengurusan kes.

Pada 19 Januari lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Mohd Rafizi dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, berhubung kenyataan yang didakwa memfitnahnya (Shahrizat).

    

Shahrizat menuntut gantirugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi gantirugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

    

Ketua Wanita Umno itu juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadapnya berhubung National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) atau syarikat-syarikat bersekutu.

Shahrizat mendakwa kedua-dua defendan secara bersistem dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan

dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadapnya.

    

Shahrizat diwakili peguam Nurul Nabila Zamri manakala Mohd Rafizi, peguam Ranjit Singh, dan Zuraida pula diwakili oleh S. Ravindran.

    

- Bernama