Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu membayangkan kemungkinan beliau akan melepaskan jawatan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana "sudah ada ahli parti yang cukup berkeupayaan untuk mengambil alih kepimpinan parti tersebut".

Beliau yang menjadi presiden selama sembilan penggal berturut-turut, berkata MIC - parti politik berasaskan kaum India yang terbesar dan paling tua di negara ini - akan melalui perubahan dalam barisan kepimpinannya dalam tempoh berkenaan.

"Ya, banyak perubahan akan dilakukan secara berpingkat-peringkat supaya generasi muda dapat memainkan peranan penting secara lebih aktif dalam parti," katanya kepada Bernama .

Ditanya mengenai siapakah yang bakal mengambil alih kepimpinannya, Samy Vellu berkata:"Saya tidak mahu kata saya mempersiapkan sesiapa ... yang saya maksudkan ialah sudah ada ahli parti yang cukup berkeupayaan untuk mengambil alih."

Bagaimanapun, beliau menyebut nama Datuk G Palanivel (naib presiden) ( kiri ) dan S Sothinathan (setiausaha agung) yang berusia kurang daripada 50 tahun, sebagai mampu mengambil alih dan mengurus parti pada masa yang sesuai.

Palanivel dan Sothinathan adalah antara tiga timbalan menteri dari MIC yang turut dilantik menganggotai kabinet beru Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. MIC juga diperuntukan tiga jawatan Setiausaha Parlimen.

Palanivel dilantik menjdi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala Sothinathan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Seorang lagi timbalan menteri dari MIC ialah Datuk S Veerasingham (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Veerasingham juga merupakan naib presiden MIC.

Isyarat perubahan

Sebelum ini, Samy Vellu mengambil tindakan yang mengejutkan dengan menggugurkan timbalan presiden parti Datuk S Subramaniam daripada menjadi calon pada pilihanraya umum yang baru lalu.

Pemerhati politik melihat tindakan itu sebagai isyarat kepada perubahan besar yang bakal berlaku dalam kepimpinan parti terbabit.

Ditanya sama ada akan berlaku tindak balas daripada anggota parti ekoran tindakan terhadap Subramaniam yang mencabar beliau pada tahun 1989 bagi jawatan presiden, Samy Vellu berkata: "Saya tidak menjangka reaksi seperti itu kerana kita menguasai sepenuhnya parti."

"Dan ahli (MIC) memahami mengapa saya mengambil tindakan itu. Saya mahu menjadikan parti ini lebih kuat, untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan negara," katanya.

Samy Vellu juga berkata beliau perlu memutuskan masa yang tepat untuk membuat perubahan dalam kepimpinan parti itu.

"Pertama kita perlu menyusun keseluruhan jentera parti supaya mereka (pemimpin baru) boleh mengambil alih. Kita mempunyai beberapa tenaga muda dalam barisan sedia ada.

"Saya sendiri, Veera (Veerasingham) dan Nijhar (Naib Presiden MIC Tan Sri K.S. Nijhar) sudah berusia lebih 60 (tahun). Yang lain masih muda dan dapat belajar, memahami lebih banyak perkara dan bersedia untuk mengambil alih kepimpinan," kata pemimpin parti yang berusia 68 tahun itu.

Beliau juga menolak cakap-cakap bahawa pelantikan tiga Timbalan Menteri dan tiga Setiausaha Parlimen dari MIC boleh menghangatkan lagi permainan politik dalaman apabila pemilihan parti diadakan pada 2006.

MIC mendapat dua jawatan tambahan dalam kerajaan - satu jawatan Timbalan Menteri dan seorang Setiausaha Parlimen dalam barisan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri Sabtu lepas.

Perhimpunan agung

"Kebiasaannya ini (permainan politik) tidak berlaku dalam MIC. Dalam MIC, ahli parti menghormati dan akur dengan keputusan Presiden dan mereka yang memegang jawatan dan tidak melakukan perkara seperti itu supaya dipilih. Mereka sedar apabila tiba masanya, mereka secara automatik akan ditimbangkan," katanya.

Samy Vellu juga yakin pemimpin parti itu yang tidak terpilih bertanding pada pilihan raya umum 21 Mac lepas tidak akan mengambil tindakan yang boleh memecah belahkan parti.

Mengenai rungutan kaum India bahawa MIC wajar mendapat satu lagi jawatan menteri, Samy Vellu berkata beliau telah membuat permohonan kepada Abdullah "namun pada masa ini ia agak sukar."

"Itu sebab kita dapat masing-masing satu jawatan tambahan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen, mungkin pada masa depan... kita akan terus meminta PM pada masa yang sesuai untuk memberi satu lagi jawatan menteri," katanya.

Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya berkata perhimpunan agung parti itu Mei ini akan memberi tumpuan kepada agenda baru untuk masyarakat India Malaysia.

"Ia akan digunakan bagi mencari jalan untuk mempromosikan masyarakat kaum itu daripada segi ekonomi, pendidikan dan sosial dan meningkatkan taraf hidup mereka yang miskin kepada kelas pertengahan," katanya.