Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bom kereta: Rakyat M'sia terbunuh di Haadyai
Diterbitkan:  Apr 1, 2012 12:01 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Seorang rakyat Malaysia disahkan terbunuh dan 10 lagi mengalami kesan lecur dalam kejadian letupan bom kereta di sebuah hotel di Haadyai, selatan Thailand semalam, menurut Konsul General Malaysia di Songkhla Mohd Aini Atan.

Beliau berkata mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Low Thian Hock, 46, berasal dari Kulim, Kedah.

Mohd Aini, ketika dihubungi Bernama berkata 10 rakyat Malaysia yang cedera itu – tiga lelaki dan tujuh wanita – kini dirawat di tiga buah hospital.

"Empat mangsa (dua lelaki, dua perempuan) kini dirawat di hospital Songkhla dan tiga lagi kesemuanya perempuan di hospital Sikarin manakala di hospital Rajyindee (seorang lelaki dan dua perempuan). Mangsa yang cedera kini berada di dalam keadaan stabil," katanya.

Kejadian letupan itu yang pada awalnya dipercayai berpunca daripada kebocoran gas telah disahkan sebagai letupan bom kereta oleh Ketua Polis Thailand Jen Priewpan Damapong dalam kenyataannya yang disiarkan televisyen hari ini.

Kejadian letupan di Haadyai itu berlaku pada masa yang sama dengan kejadian letupan bom kereta di Yala semalam, mengorbankan 11 orang dan mencederakan 110 yang lain.

Mohd Aini berkata seramai 10 pegawai dari tiga agensi iaitu Pejabat Penyelarasan Sempadan Malaysia-Thailand (MTBCO), Pegawai Perhubungan Polis (MPLO) serta Kementerian Luar sedang membuat pemantauan di pejabat operasi berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, pegawai tersebut juga akan memantau keadaan mangsa yang mengalami kecederaan dan memberi maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan anggota keluarga mangsa mendapat perkembangan terbaru mengenai mereka.

Beliau berkata 17 lagi rakyat Malaysia yang cedera menerima rawatan pesakit luar.

Mereka adalah antara lebih 300 orang yang dilaporkan cedera dalam kejadian di lokasi yang sentiasa sesak dengan pelancong itu kerana kedudukannya di tengah pusat perniagaan.

Video yang dimuat naik di internet menunjukkan keadaan kelam kabut dan banyak mangsa keluar melalui tingkap dengan bergayut pada kain yang disambung panjang, untuk turun ke bawah bangunan itu.

Pasukan keselamatan kini mengawal ketat kawasan hotel itu.

Konsulat Malaysia di Songkhla boleh dihubungi di talian +66819901930 atau +60818983143.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS